Mahkamah Benar Permohonan Anina Gantung Permohonan Najib Batal Saman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pagi ini membenarkan permohonan bekas ahli UMNO, Anina Saadudin menggantung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan writ saman yang difailkan wanita itu.

 

Saman tersebut berhubung wang RM2.6 bilion (AS$650 juta) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan Presiden parti itu.

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dalam keputusan beliau berpendapat, memang terdapat perkaitan rapat antara kes di hadapan beliau dengan satu kes di sebuah lagi Mahkamah Tinggi Sivil di sini iaitu kes Anina menyaman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh.

 

Mahkamah berpendapat adalah wajar kes berhubung kedudukan Anina dalam UMNO diputuskan terlebih dahulu.

 

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina memberitahu pemberita, kes membabitkan kedudukan Anina dalam UMNO akan didengar pada 30 November ini.

 

Mohd. Zaki sehubungan itu menetapkan permohonan Najib untuk membatalkan saman Anina di hadapan beliau didengar pada 15 Disember ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.