Rooney Beri Amaran Ancaman Di Celtic Park

Glasgow – Kapten England, Wayne Rooney mendedahkan sudah memberi amaran kepada rakan sepasukan yang lebih muda untuk bersedia mengharungi suasana sukar berdepan Scotland, awal pagi ini dalam aksi persahabatan antarabangsa di Celtic Park.

Scotland ketika ini bersemangat tinggi selepas hanya mencatat satu kekalahan dalam 10 perlawanan di Celtic Park dan suasana di laman keramat mereka cukup ‘gila’, Sabtu lalu selepas skuad bimbingan Gordon Strachan itu menewaskan Republik Ireland 1-0 dalam kelayakan Euro 2016.

Skuad England bimbingan Roy Hodgson ketika ini memiliki 11 pemain yang berusia bawah 24 tahun dan Rooney menjelaskan sudah memberi nasihat kepada rakan sepasukannya yang kurang pengalaman supaya memastikan emosi mereka kekal stabil.

“Saya sudah bercakap dengan beberapa pemain yang lebih muda supaya mereka bersedia untuk perlawanan ini, kerana jika kamu tidak bersedia, ia boleh mengejutkan kamu,” kata Rooney.

“Kami akan bersedia dan ia akan menjadi ujian yang besar buat kami. Saya pernah bermain di sini untuk perlawanan yang besar dalam Liga Juara-Juara Eropah. Kamu boleh merasakan suasana di sini cukup membingitkan dan amat tegang.

“Saya amat teruja apabila perlawanan ini dijadualkan, dan ketika ini, kami di sini. Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang besar. Scotland bermain dengan baik ketika ini dan mendapat keputusan yang baik.

“Kami juga berada dalam keadaan yang baik ketika ini dan penting untuk kami mengekalkannya. Perlawanan kami selepas ini adalah pada Mac (kelayakan Euro 2016), jadi kami tidak mahu pulang dengan keputusan yang buruk,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.