Pusat Pemindahan Banjir Dilengkapi Bekalan Makanan Lebih Awal

Kuantan – Kerajaan Negeri Pahang mengadakan persiapan lebih rapi untuk menghadapi musim banjir dengan perancangan lebih proaktif termasuk menyiapkan 629 pusat pemindahan banjir dengan bekalan makanan lebih awal.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kebiasaannya hanya pangkalan hadapan sahaja dilengkapi bekalan makanan, namun kali ini selain menyediakan bekalan makanan lebih awal di setiap pusat pemindahan, tukang masak turut disediakan.

Katanya bekalan makanan itu adalah untuk tempoh dua hari dahulu dan proses penghantaran akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu bermula hari ini.

“Selain itu juga kita akan menyediakan tukang masak dan tidak lagi bergantung kepada mangsa banjir untuk memasak makanan mereka sendiri.

“Tukang masak ini pula akan tertakhluk dengan syarat-syarat oleh Jabatan Kesihatan termasuk mestilah mendapat suntikan dan bebas sebarang penyakit berjangkit untuk mengelakkan ia merebak kepada mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bencana Negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Shamsiah Husin.

Muhammad Safian berkata seramai 140,000 mangsa banjir dijangka boleh ditempatkan di 629 pusat pemindahan tersebut dan antara pusat pemindahan itu ialah di Temerloh sebanyak 82 pusat, Kuantan (79), Pekan (88), Rompin (35) dan Cameron Highlands (20).

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan banjir di Pahang pada tahun ini tidak sebesar yang berlaku seperti tahun lepas.

“Banjir dijangka melibatkan daerah-daerah seperti Rompin, Pekan dengan yang paling serius di Kuantan dan untuk itu pemindahan mangsa banjir di sini kali ini akan dilakukan mengikut zon untuk memastikannya lebih sistematik,” katanya.

Menurutnya, bagi Kuantan, untuk Zon A1 iaitu penduduk Kampung Sungai Isap, Sungai Isap 1 dan 2, Sungai Isap Jaya, Taman Murni, Taman Aman, Tanah Putih Baru, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan Kampung Razali akan dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Ching dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih.

Untuk Zon A2 pula, penduduk Taman Desa, kawasan perumahan berhampiran Balai Polis Permatang Badak, Taman Putera Puteri, dan Taman Guru akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), SK Mat Kilau, SMK Mat Kilau, SMK Seri Mahkota, dan SK Fakeh.

Bagi Zon B1, penduduk Sungai Isap Damai, Sungai Isap Perdana, Rancangan Rumah Murah Permatang Badak, kawasan Perumahan Bukit Rangin, Kampung Bukit Rangin, Kampung Baru MPK dan Permatang Badak akan pindahkan di Kompleks Sukan Pahang, Sekolah Berprestasi Tinggi Intergrasi Kuantan, SK Sg Talam, Sk Indera Mahkota, Sk Tengku Azizah, SJK (T) Indera Mahkota dan SJK (C) Kuang Hwa.

Sementara untuk Zon B2, penduduk Kampung Pandan 1 dan 2, kawasan perumahan sekitar Pandan, Kampung Chendering akan dipindahkan ke SMK Pandan dan SK Pandan.

Bagi Zon C pula iaitu yang melibatkan penduduk Cenderawasih, Kampung Tengah, Kampung Jawa, Kampung Tiram dan Paya Tiga akan dipindahkan ke Wisma Belia dan SMK Palima Perang.

Muhammad Safian berkata, untuk mengelakkan masalah terputus bekalan elektrik seperti dialami pada tahun lepas, pihak TNB juga telah bersedia dengan pelan kecemasannya.

“Jika pencawangnya di Sungai Isap dinaiki air, TNB hanya akan memutuskan bekalan elektrik di kawasan itu dan tidak lagi melibatkan keseluruhan kawasan Kuantan seperti tahun lepas dan pencawang di IM juga telah dibina benteng di sekeliling untuk mengelak dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menyediakan 56 buah bot bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di seluruh Pahang.

Timbalan Pengarah JBPM Pahang Penolong Pesuruhjaya Bomba Morni Mamat berkata logistik lain seperti lori dan pacuan empat roda turut digunakan untuk melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

“Selaras itu, kekuatan daripada 947 anggota termasuk pegawai di seluruh negeri akan dikerah sepajang musim banjir untuk turun membantu mangsa yang terlibat dan cuti kesemua anggota kini dibekukan sehingga 15 Jan depan,” katanya kepada pemberita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.