Pemimpin Umno Johor Setuju Transformasi, Untuk Kekal Relevan

Kuala Lumpur – Pemimpin Umno Johor bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin parti Melayu itu perlu melakukan transformasi agar terus relevan selepas ditentang secara terbuka oleh kaum Melayu dalam dua pilihan raya sebelum ini.

Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, usaha transformasi itu perlu dilaksanakan dengan serius beserta komitmen tinggi setiap ahlinya.

“Secara transformasinya, perlu serius, kita lihat Selangor, lepas 2008 kita beri peluang, tapi selepas satu penggal transformasi tidak boleh berlaku dengan cepat,” katanya, merujuk kepada Umno Selangor yang ditegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Barisan Nasional (BN) Selangor tewas dalam dua pilihan raya umum (PRU), pada 2008 dan 2013 kepada Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PAS, PKR, dan DAP.

“Transformasi ini ambil masa lama, perlu ada komitmen tinggi, perlu muhasabah diri dan pengorbanan daripada ahli sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad berkata, transformasi bukan perkara mustahil dalam Umno dan ia tidak seharusnya dilihat daripada jangka masa pendek.

“Jika mahu melakukan transformasi memang perlu secara keseluruhannya, saya tidak membantah, ia memang perlu.

“Cuma transformasi ini bukan berlaku dalam sekelip mata. Ia perlukan masa yang panjang. Namun perlu penyertaan semua pihak untuk laksanakannya,” katanya.

Noraini berkata, melaksanakan transformasi bukan bermakna parti itu bermasalah sebaliknya adalah untuk memastikan ia tetap menjadi pilihan rakyat.

Khaled ketika konvensyen Umno Johor minggu lalu berkata, penolakan terbuka terhadap Umno, termasuk daripada komuniti Melayu semakin ketara.

Beliau berkata, rakyat semakin kurang minat untuk menyertai parti politik, walaupun kesedaran politik kian meningkat.

“Prestasi kita dalam dua pilihan raya umum lalu, adalah petunjuk terbaik dan harus segera menjadi pengajaran berguna.

“Benar kita mempunyai tiga juta ahli, tetapi adalah benar juga yang kebanyakan ahli kita hanya pada keahlian.

“Ramai yang menyertai Umno bukan lagi kerana perjuangan, tetapi sebagai instrumen politik untuk pengaruh, kuasa, prestij dan kekayaan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Umno Johor 2014, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, katanya, transformasi perlu dilakukan segera bagi memastikan Umno terus kekal relevan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.