Kepala Manusia Dalam Kotak

Bangkok – Polis Thailand menyiasat bagaimana tiga bungkusan berisi organ manusia terawet boleh berada di sebuah premis syarikat penghantaran antarabangsa dan bersedia diterbangkan ke luar negara.

Polis dimaklumkan mengenai kotak mencurigakan itu selepas pekerja syarikat penghantaran itu di cawangan Rama III mendapati bungkusan berkenaan berisi anggota badan manusia.

Jurucakap polis daerah Yannawa berkata, apabila penyiasat tiba, mereka mendapati bungkusan itu berisi pelbagai anggota badan, termasuk kepala dan kaki bayi, kulit manusia bertatu harimau serta simbol misteri.

“Bungkusan itu diambil dari cawangan kami di Maboonkrong dan dilabelkan sebagai mengandungi barang mainan kanak-kanak.

“Kecurigaan pekerja terbabit timbul apabila kotak itu diimbas,” katanya.

Menurut jurucakap itu, kotak berkenaan sepatutnya dihantar ke Las Vegas, Nevada.

Sementara itu polis menyiasat kemungkinan anggota badan manusia itu dicuri dari sekolah perubatan sebelum dijual kepada warga asing sebagai cenderahati.

Pemangku Ketua Polis Metropolitan, Srivara Rangsipramanakul berkata, satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi mengesan dari mana organ manusia itu diperolehi.

“Siasatan awal menunjukkan organ itu sudah diawet dengan baik,” katanya.

Srivara berkata, dua lelaki warga asing disoal siasat berhubung penemuan itu dan seorang daripada mereka mengaku pemilik kotak bungkusan berkenaan.

“Dia mendakwa objek itu dibeli untuk bersuka-suka,” katanya.

Suspek berusia 31 tahun dan memiliki tatu pada hampir seluruh badannya kini berada di Kemboja dan berjanji pulang ke Bangkok pada 25 November ini. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.