KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil menegaskan tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Pusat Komunikasi Korporat UKM Bangi menyatakan, universiti itu meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.
Bagaimanapun, UKM mengingatkan, etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah di mana setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran.
“Sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai Universiti Watan.
“Kenyataan awam yang berbentuk konstruktif amat digalakkan sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan yang menjadi pemangkin perbincangan ilmiah dalam kalangan warga UKM,” katanya.
Semalam dilaporkan, wujudnya memo dalaman yang diterbitkan UKM berkait larangan membuat pernyataan awam termasuk di media sosial dan berisiko berdepan Peraturan 18(1), Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] menyatakan bahawa seseorang pegawai tidak boleh secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain.