KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan sebanyak 40 sen seliter.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi menyokong gerakan War on Sugar kerana Malaysia merupakan antara negara dengan rakyat paling obes di rantau Asia Tenggara dengan salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit ialah gula.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan hasil yang diraih daripada langkah itu akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.
Selain itu, katanya, tambahan hasil tersebut juga bagi penyediaan rawatan dialisis peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang turut menambah baik pusat dialisis agensi tersebut.
“Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara,” katanya di Dewan Rakyat ketika pembentangan Belanjawan 2025, pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan Ikhtiar Rakan Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan kerjasama GLIC bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.
“Pelaksanaan ini akan bermula di lima hospital KKM yang mempunyai permintaan tinggi serta infrastruktur sesuai seperti Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal RM25 juta,” katanya.