KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
“Kerajaan Madani sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.
“Untuk itu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
“Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” umum beliau di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menurut Menteri Kewangan itu lagi, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan
pekerja. Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985).
“Selanjutnya, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan Madani untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.
“Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan.
“Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja,” katanya.
Tambah beliau lagi, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan ikhtiar kita menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat.
“Melalui ikhtiar IPR INSAN, tahun hadapan, RM 250 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.