VIDEO: “Nasib Pemandu Teksi Sekarang Seperti Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang”

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah perumpamaan yang diungkapkan pemandu teksi mengenai nasib mereka ketika ini lebih-lebih lagi selepas kewujudan perkhidmatan e-hailing atau Grab.

Seorang pemandu teksi, Baharuddin Wahab, 61, mengakui nasib pemandu teksi ketika ini lebih teruk jika mahu dibandingkan dengan pemerintahan sebelum ini, seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini langsung tidak mengambil berat soal kebajikan golongan berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan kata Baharuddin, cadangan untuk menggantikan bas di stesen-stesen transit aliran ringan (LRT) dengan perkhidmatan Grab, menjejaskan lagi periuk nasi pemandu teksi yang sememangnya sudah hampir ‘tenat’.

“Daripada yang dulu, yang teruk masa sekarang ini lah. Sebab bagi yang menyewa teksi, kos sewa untuk sehari sekitar RM47 hingga RM52. Sekarang nak capai pendapatan RM100 sehari pun susah. Kos minyak, makan, sewa, kerosakan semua di situ tapi RM100 susah nak dapat. Memang jauh beza dulu dengan sekarang. Dulu, kalau masa-masa macam ni, RM100 boleh dapat dah,” katanya ketika ditemui SuaraTv.

Luah Baharuddin yang sudah 27 tahun bekerja sebagai pemandu teksi, inilah sumber pendapatan utamanya untuk menyara keluarga.

Bapa kepada enam anak ini berkata, ketika ini pendapatan bulanannya kurang daripada RM1500. Jumlah itu menurut Baharuddin, langsung tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanannya apatah lagi dengan pengumuman kerajaan PH yang mahu menghentikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Dahulu lebih terbela. Kalau dulu BR1M dapat, sekarang nak hapus pula, kerana rakyat Malaysia manja katanya. Kalau gaji kita RM3000 atau RM4000, kami tak manja, kami tak minta BR1M. Sekarang dapat berapa ringgit saja walaupun sudah tunggu penumpang lebih dari satu jam,” luahnya.

Tambah Baharuddin, beliau mahu kerajaan menetapkan peraturan kepada pemandu Grab sebagaimana peraturan yang dikenakan kepada pemandu teksi.

“Cadangan kepada kerajaan, dia (Grab) kena buat apa yang kami buat. Itu saja. Puspakom, kasut, bajut putih, kad pemandu, tambang yang sama… kita boleh bersaing secara sihat, sebab meraka nak cari makan dan ada tanggungan juga.

“Jadi tolonglah, siapa pun yang jadi kerajaan… mohon supaya nasib kami terbela,” katanya lagi.

Bagi Selva Kumar, 48, beliau kecewa kerana kerajaan masih gagal mencari satu mekanisme yang bersifat ‘menang-menang’ agar pemandu teksi dan pemandu Grab dapat bersaing secara sihat.

“Pasal Grab lah kita susah sekarang. Kalau kerajaan hapus Grab, kita boleh hidup.

“Kita memang makin susah…banyak susah. Bayar sewa rumah susah, bayar sewa kereta pun susah. Sehari pendapatan sekitar RM50 hingga RM60 saja. Mana boleh hidup….nak isi minyak lagi.

“Cadangan saya, tolong perbaiki balik perkhidmatan teksi.. minta itu saja,” katanya yang sudah lapan tahun memandu teksi.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Mohamad Razi, 60, meluahkan rasa kesal dan kecewa kerana kerajaan melayan pemandu Grab dengan istimewa, berlainan dengan nasib pemandu teksi yang seolah-olah dianaktirikan.

“Pada pendapat saya nasib pemandu teksi sekarang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Masalahnya sekarang bagi kami ialah pemandu Grab. Lagi satu, Grab ini macam diberi layanan istimewa, kami pemandu teksi ini ibarat tak dihargai, dibiarkan merempat sana sini. Salah tempat, kena saman. Dekat mana kami boleh menumpang? Tolong tanya kepada orang atas, di mana kami boleh menumpang?

“Sekarang ni nak cari RM50 pun susah. Teksi saya tu sewa RM50 sehari. Itu belum lagi kos minyak, makan… mereka (kerajaan) tahu tak? Saya kalau boleh jumpa mereka, saya berani nak cakap. Ini sikit-sikit, pemandu teksi semua salah,”luahnya geram.

Menurutnya, sudah banyak aduan dikemukakan kepada persatuan teksi agar mebawa suara para pemandu ke peringkat atasan, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi kerana kuasa berada di tangan menteri pengangkutan.

“Teksi pun tak terbayar. Teksi saya tu dah berapa lama tertunggak. Mari sini saya tunjukkan. Adakah mereka tahu? Mereka tak tahu nasib pemandu teksi ni dah macam pengemis,” katanya.

Bagi Zulhasri Osman, 67, beliau berharap agar kerajaan mengharamkan terus perkhidmatan Grab yang sudah menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka.

“Saya sangat sangat berharap agar pihak atasan stabilkan pemandu teksi. Janganlah ada Grab lagi.

“Mohon Mahathir beri perhatian… susun semula atau hapus (Grab),” sarannya.

Sejak PRU14 lalu, beberapa siri perhimpunan sudah diadakan pemandu teksi bagi menyatakan tuntutan mereka.

Julai lalu, beratus pemandu teksi berhimpun di Padang Merbuk bagi menuntut perkhidmatan e-hailing dihentikan sehingga kerajaan menetapkan akta dan peraturan rasmi.

Mereka juga mahu perkhidmatan e-hailing sedia ada menggunakan kenderaan yang sah seperti teksi, teksi mewah, van pelancongan serta semua kelas kenderaan yang mempunyai lesen pengendali, dan bukannya kenderaan persendirian seperti sekarang.

Terbaru, semalam, kira-kira 300 pemandu teksi berhimpun di Kementerian Kewangan, Putrajaya bagi membantah cadangan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua untuk menggantikan bas di stesen LRT dengan perkhidmatan Grab.

Mereka juga menuntut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi maklum balas dalam tempoh 24 jam berhubung cadangan Pua itu. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.