PH Mahu Haramkan UMNO?- Exco Puteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan  kini dalam langkah untuk mengharamkan UMNO menerusi tindakan penahanan yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Kata Exco Pergerakan Puteri  UMNO  Dr Maslinda Harun ini terbukti menerusi tindakan-tindakan siasatan kepada pemimpin parti itu yang bertujuan memberikan persepsi buruk kepada umum. 

“Tindakan ini boleh dianggap sebagai satu usaha untuk melemahkan UMNO, juga terus memburukkan UMNO di mata rakyat dengan pelbagai tuduhan dibawah Akta AMLA, yang kini telah dijadikan senjata utama kerajaan untuk menahan dan menekan pemimpin-pemimpin UMNO dan seterusnya ingin memadamkan nama UMNO dalam kancah politik Malaysia.

“Ini juga secara tidak langsung dilihat sebagai usaha awal untuk mengharamkan parti terbesar orang Melayu di negara ini. 

“Usaha untuk mengharamkan UMNO ini biarpun tidak ada sebarang kenyataan rasmi di pihak kerajaan, namun ia bukanlah satu rahsia lagi di kalangan ahli politik, bahawa sememangnya wujud usaha ke arah itu,” katanya menerusi kenyataan. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Zahid telah diberikan notis serah diri untuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini. 

Beliau dijangkakan akan hadir ke ibu pejabat agensi itu pada 3 petang ini berhubung siasatan penyelewengan Yayasan Akal Budi.

Zahud juga dijangka akan didakwa agensi itu pada Jumaat ini.

Maslinda walaubagaimanapun mempertikaikan kompromi pihak berkuasa kepada pemimpin parti daripada Pakatan Harapan  merupakan kerajaan berbanding pemimpin UMNO yang secara konsisten diserang. 

“Tindakan kerajaan yang berterusan menahan dan mendakwa pemimpin kanan UMNO ini menimbulkan persoalan mengapa hanya UMNO, mengapa ia tidak dibuat secara adil terhadap pemimpin parti-parti lain?

“Mengapa kes pemimpin politik yang sudah dibicarakan di mahkamah, sepertimana kes rasuah pemimpin Dap seperti Lim Guan Eng boleh dibubarkan. 

“Begitu juga kes-kes aktivis-aktivis Pakatan Harapan yang didakwa sebelum ini secara serta merta digugurkan kes apabila PH menguasai Kerajaan?,” tegasnya. 

Maslinda mendakwa tindakan ini didalangi Pakatan Harapan yang terdesak untuk mengubutkan UMNO.

“Selain AMLA, tindakan menggunakan ROS sebagai alat untuk menghalang pendaftaran UMNO sememangnya adalah satu cara tindakan yang terdesak dan dayus dari pihak Pakatan Harapan.

“Pelbagai helah digunakan untuk mencari lompong kesalahan, daripada proses halangan mengadakan mesyuarat hingga menyiapkan laporan borang 9 telah digunakan bagi mencari cacat cela pertubuhan UMNO,” tambahnya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.