MT Kekalkan Zahid Sebagai Presiden

KUALA LUMPUR – UMNO memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti itu, sekalipun jika beliau berhadapan dengan pertuduhan mahkamah berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, parti juga tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Zahid.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MT UMNO yang berlangsung malam tadi, kata Ahmad.

“Keputusan kami ialah tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Zahid, malah memberi sokongan padu kepadanya.

“Ini adalah pendakwaan politik terpilih. Pemimpin mereka (Pakatan Harapan) dibebaskan, pemimpin UMNO satu per satu diheret ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat parti malam tadi turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Ismail Sabri, dan Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, manakala Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir kerana tidak sihat.

Semalam, Mahdzir berkata parti bersedia membuat satu mesyuarat bagi membincangkan jawatan Zahid sebagai presiden parti.

Zahid dikatakan akan ditahan SPRM petang ini sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa esok. 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam semalam.

Ujarnya, Zahid telah diberikan notis serah diri pada jam 1.45 petang semalam, yang memintanya menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 3.00 petang Khamis (hari ini).

Zahid yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri minggu lalu memberikan keterangan kepada SPRM selama tiga hari bermula 10 Oktober (Rabu). 

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai penyelewengan dana Yayasan Akal Budi berjumlah RM800,000 yang dikatakan digunakan untuk membayar bil kad kredit.

Zahid adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan oleh keluarganya untuk menjalankan kegiatan amal. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.