“Biar Mati Berdiri, Dari Hidup Melutut Pada Parti Cauvinis,” Reaksi Amran Ahmad Selepas Dipecat DAP

SHAH ALAM – Selepas lima bulan membuat pendedahan mengenai taktik kotor DAP, Amran Ahmad mengesahkan dirinya secara rasmi dipecat daripada parti berkenaan.

Menurut Amran, surat pemecatan yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen bertarikh 15 Oktober itu diterimanya semalam (17 Okt). 

“Saya menerima keputusan DAP itu dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu atas sebab-sebab yang akan saya huraikan di bawah.

“Dengan penerimaan surat pemecatan itu, saya beranggapan, selain keahlian dalam parti selama hampir 10 tahun itu ditamatkan, saya juga ‘kehilangan’ jawatan timbalan pengerusi biro buruh DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Amran yang juga anak kepada bekas naib pengerusi DAP dan mantan ahli parlimen Bayan Baru, Ahmad Nor, menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan kepada parti berhubung pemecatannya, dengan menyenaraikan beberapa sebab di atas pendiriaannya.

“Saya menyertai DAP sebagai Democratic Action Party kira-kira 10 tahun yang lalu tetapi dipecat dari Developers Action Party, DAP yang saya anggap telah berubah hala tuju dan dasar perjuangannya selepas mendapat kuasa.

“Saya dipecat kerana mengkritik tindakan DAP menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum PRU14 – apa salah saya menegakkan kebenaran dan mengkritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang kononnya menjadi tunjang perjuangan DAP,” katanya.

Amran menambah, pemecatan dirinya merupakan suatu pengkhianatan dan tindakan tidak mengenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapanya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP.

“Saya juga merasakan tiada keperluan untuk saya berada dalam parti yang menjual prinsip perjuangan dan maruah semata-mata kerana kuasa dan jawatan – sebagai contoh 5 tahun yang lalu kata Tun M bapa perompak negara tetapi hari ini menyembah beliau saban hari.

“Saya bersedia untuk tidak memandang ke belakang lagi dan meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia negara yang lebih baik atas platform lain dengan tekad – Biar mati berdiri, dari hidup melutut pada parti yang cauvinis dan sangat perkauman ini. 

“Semoga apa yang menimpa saya ini membuka mata rakyat negara ini terutama orang Melayu yang menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dengan DAP,” katanya yang menyertai DAP pada 2009.

Pada 5 Mei lalu, Amran membuat kejutan apabila mendedahkan taktik DAP menggunakan kaedah menyebarkan propaganda jahat yang bersifat fitnah semata-mata untuk memancing undi rakyat pada PRU14 ini.

Amran mendakwa, propaganda jahat yang disebarkan DAP menerusi beberapa video serta risalah menyasarkan pemimpin-pemimpin dari parti lawan termasuklah Datuk Seri Najib dan keluarganya dan juga pemimpin kerajaan.

Amran yang merupakan sebahagian daripada pasukan publisiti DAP menamakan Tony Pua dan pembantunya, Yeo Bee Yin sebagai orang yang bertanggungjawab terutamanya untuk mengarang kandungan media, dengan setiausaha agung part itu Lim Guan Eng memberi arahan kepada pasukan publisiti. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.