Usah Peduli ‘Suara Sumbang’ Kata KJ

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap barisan kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempedulikan ‘suara negatif’ yang dilemparkan terhadap badan induk itu.

Sambil meletakkan kepercayaan kepada Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Khairy menjelaskan semua pihak sepatutnya lebih positif dan memberi sokongan kepada badan induk itu melakukan perubahan dan menjadikan Malaysia sebagai gergasi bola sepak Asia.

“Kita semua mesti ada mentaliti yang positif. Saya sedih melihat polemik bola sepak negara yang menyerang individu (tertentu) tanpa usul periksa.”

“Memberi tumpuan kepada ayat gurauan dan bukan kepada intipati sebenar yang serius, yang suka ejek-mengejek dan mencaci-maki. Mentaliti seperti itu tidak ada pada negara yang berjaya. “Saya yakin sentuhan magis beliau (Tunku Ismail) yang meletakkan Johor DT (Johor Darul Ta’zim) di puncak bola sepak rantau Asia Tenggara dapat juga diberikan kepada bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Metro.

FAM mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak susulan kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober lalu selain kejatuhan skuad Harimau Malaya ke-170 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi kenyataan sama juga, Khairy turut mengakui bola sepak tanah air hanya akan maju apabila wujud pembangunan secara menyeluruh.

Malah, katanya, usaha itu sudah bermula dengan beberapa perubahan yang digagaskan oleh kepemimpinan FAM yang baru.

“Antara kejayaan cepat atau ‘quick wins’ yang sudah diperoleh ialah skuad bawah 22 tahun (B-22) layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 dan pasukan sama merangkul pingat perak di Sukan SEA 2017.”

“Malah, skuad B-19 muncul naib juara di kejohanan AFF B-19. Generasi baru sedang dilatih melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dengan DNA permainan yang lebih menarik dan berkesan.”

“NFDP sudah melatih 22,575 pemain antara umur 7 hingga 17 tahun di bawah 1,025 jurulatih di 126 akademi seluruh negara.”

“Walaupun kedudukan pasukan negara jatuh dalam ranking FIFA yang terkini, kita perlu melihat kepada jangka sederhana dan panjang dengan kesabaran. Perubahan dan peningkatan tidak datang dengan sekelip mata,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.