PAS Gesa Siasat Lim Guan Eng Didakwa Perlekeh Islam

SHAH ALAM – PAS menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ekoran bersikap kurang ajar dengan mengeluarkan kenyataan memperlekehkan Islam bersabit penganjuran pesta arak Oktoberfest di negeri pimpinan DAP itu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Hishamuddin Abdul Karim berkata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sewajarnya memilih untuk berdiam diri berhubung pesta kontroversi yang mendapat bantahan penganut Islam, dan bukannya melontar ulasan sinikal.

Beliau merujuk kepada kenyataan Guan Eng yang mengatakan Pulau Pinang “bukan negara Taliban” sehingga mahu melarang pesta arak diadakan di negeri itu.

“Provokatif dan penghinaan seperti ini sangat merbahaya kepada keharmonian negara yang berpotensi menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan pelbagai rasa kurang senang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishamuddin yang juga ADUN Tepoh turut menuntut siasatan dilakukan terhadap bekas ahli parti itu, Hew Kuan Yau ekoran memaki Islam dengan carutan ‘Sohai’, carutan yang sering digunakan kaum Cina yang membawa maksud ‘gila’ atau ‘kurang siuman’.

“Sehubungan itu kami menggesa siasatan dijalankan ke atas kedua-dua individu ini, seterusnya DAP perlu mengemukakan permohonan maaf rasmi,” katanya juga.

Guan Eng beberapa hari lalu berkata acara Oktoberfest ke-45 anjuran Persatuan Jerman Malaysia yang berlangsung di negeri pimpinannya tanpa sebarang halangan, menunjukkan Pulau Pinang ‘bukan negara Taliban’.

Ujarnya, ‘pelampau’ mungkin berjaya mengharamkan acara itu di Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi pihak berkenaan tidak akan berjaya melakukannya di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang tidak berminat melarangnya, atau mengganggu kebebasan rakyat Malaysia. Kami bukan negara Taliban,” kata Guan Eng beberapa hari lalu yang dipetik oleh Malaysiakini.

Dalam pada itu ulas Hishammuddin lagi, sikap anti-Islam yang ditunjukkan DAP bukan perkara baru walaupun ia sering dinafikan pemimpin parti tersebut.

“Kedekatan yang cuba ditunjuk DAP kononnya bersama Islam, hanyalah bermotif dan beragenda serta memperkakas dan memperalas untuk tujuan politik semata-mata.

“Walhal, DAP berterusan menginjak maruah Islam, ajaran dan umatnya bukan lagi secara tertutup atau berselindung di sebalik pihak tertentu, malah juga terang-terangan.

“Kami juga berharap pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat meneliti semula kedudukan DAP memandangkan parti itu mengesampingkan beberapa teras utama dari Perlembagaan Negara.

“Malah, terbukti DAP telah banyak kali menyuarakan hasrat dan cita-citanya atas Malaysia yang bersifat menyangkal asas Perlembagaan,” katanya lagi. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.