PAN Sasar Tanding 30 Kerusi DUN Di Kelantan

SHAH ALAM – Amanah Kelantan mengesahkan ia meminta sebanyak 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Timbalan pengerusinya, Che Ibrahim Mohamad berkata hasrat berhubung bilangan kerusi itu diajukan lebih tiga bulan yang lalu kepada Pakatan Harapan (PH) untuk dibincang dan dimuktamadkan.

Malah strategi parti itu untuk menewaskan PAS di Kelantan turut ditambah dengan permintaan sebanyak lapan kerusi di peringkat Parlimen.

“Di Kelantan, Amanah menyatakan hasrat di 30 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen.

“Kita hanya diminta menyatakan hasrat jumlah kerusi yang kita minat bertanding. Keputusan ini akan dibincang dan diputuskan di peringkat PH Pusat, bukan kita.

“Bukan setakat Amanah, kesemua parti-parti gabungan PH iaitu Amanah, PKR, PPBM dan DAP diminta menyatakan hasrat kerusi-kerusi mereka berminat bertanding dalam PRU14,” ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Che Ibrahim mengulas laporan sebuah portal hari ini bahawa parti itu mahu bertanding di 32 kerusi daripada 45 kerusi DUN Kelantan dalam usaha merampas negeri itu daripada PAS.

Portal itu yang memetik sumber berkata, Amanah diberi kepercayaan untuk menggempur kerusi DUN khususnya melibatkan kawasan yang dimenangi PAS sebelum ini dengan majoriti kecil atau di kawasan di mana parti Islam itu tewas dengan majoriti tipis.

Laporan itu juga menyebut PKR mendapat pertambahan dua kerusi DUN berbanding empat kerusi pada PRU13 yang lalu.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula diberikan sebanyak lima kerusi, namun peruntukan dua kerusi buat DAP masih 50-50.

Laporan portal itu yang memetik sumber juga menyatakan bagi kerusi Parlimen di Kelantan, Amanah dan PKR masing-masing diperuntukkan tiga kerusi, berbanding PPBM dengan jumlah lapan kerusi.

Mengulas lebih lanjut, Che Ibrahim menyerahkan pertimbangan kepada PH Pusat berkenaan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti-parti komponen di Kelantan.

“Setakat ini saya difahamkan perbincangan untuk kerusi Parlimen sudah diselesaikan, dan kini baru memasuki perbincangan kerusi DUN,” katanya.

PAS sedari awal lagi mengumumkan ia akan bertanding di kesemua kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan pada PRU14 kelak, selepas ia tidak lagi mempunyai kerjasama dengan PKR, dan tidak menyertai PH.

Ramai pemerhati politik menjangkakan pertandingan sengit dengan lebih dari dua penjuru akan berlangsung pada pilihan raya kali ini di Kelantan, apatah lagi dengan hasrat parti berkecuali, Parti Sosialis Malaysia yang turut mahu meletakkan calon mereka di beberapa kerusi.

DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi dengan 31 darinya dikuasai PAS, 13 pula dari Umno dan satu kerusi milik Amanah.

Kerusi Parlimen pula menyaksikan PAS menguasai sembilan kerusi manakala BN pula memiliki lima kerusi. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.