Liow Langsung Tak Tahu Bellew Akan Letak Jawatan

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau langsung tidak tahu yang Peter Bellew akan meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS).

Katanya, beliau masih menunggu laporan MAS tentang apa sebenarnya yang berlaku, namun memberi jaminan rancangan untuk mengembalikan keuntungan syarikat penerbangan negara itu tidak akan terjejas.

“Saya tidak menerima apa-apa petanda sebelum ini, jadi saya ingin tahu butirannya terlebih dulu. Kami yakin transformasi MAS akan diteruskan, tidak kira siapa yang menjadi CEO atau COO (ketua pegawai operasi).

“Transformasi MAS masih menjadi agenda. MAS dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Deepavali Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAAICCI), di Kuala Lumpur hari ini.

Liow berkata lagi, terpulang kepada Khazanah Nasional untuk menentukan sama ada Bellew akan diganti oleh pegawai MAS sedia ada atau dari luar.

Sebelum ini, akhbar The Irish Times melaporkan Bellew akan kembali ke Ryanair sebagai ketua pegawai operasi bermula 1 Disember ini.

Beliau menjadi CEO kedua yang meninggalkan MAS secara mendadak dalam masa tiga tahun, selepas perletakan jawatan Christoph Mueller Jun tahun lalu.

 

Kedua-duanya ditugaskan untuk menjadikan MAS kembali membuat keuntungan selepas mencatat kerugian bertahun-tahun serta peristiwa nahas MH370 dan MH17.

MAS dalam kenyataannya berkata tidak menjangkakan tindakan Bellew itu, dan membangkitkan yang beliau telah menyatakan komitmen untuk bersama MAS di tengah-tengah spekulasi beliau akan kembali ke Ryanair, 27 September lalu.

MAS akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah bagi menentukan tindakan seterusnya dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.