Harimau Malaya Perlu Tenaga Muda – Penganalisis

Pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menganggap sukar untuk skuad Harimau Malaya memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia sekiranya masih kekal dengan skuad ketika ini.

Justeru, Kay Kim menjelaskan perubahan drastik perlu dilakukan dalam skuad bimbingan Nelo Vingada itu termasuk menyerap lebih ramai pemain muda yang berkualiti ke dalam pasukan.

“Susah… memang susah (untuk baiki ranking negara ketika ini). Pemain sekarang tidak boleh diubah lagi, jurulatih kena lakukan banyak kerja rumah dan cari pemain baru.”

“Buat masa sekarang kita hanya perlu sabar, kita tidak boleh buat apa-apa. Jika perubahan dapat dilakukan, mungkin dalam empat atau lima tahun lagi kita dapat lihat kedudukan terbaik Harimau Malaya.”

“Apapun, itu terpulang kepada mereka yang menguruskan bola sepak di negara ini, kita juga tidak boleh fokus pembangunan di tempat tertentu sahaja, seluruh negara perlu alami perubahan,” kata Kay Kim, lapor Metro.

Prestasi buruk di pentas antarabangsa menyaksikan kedudukan skuad Harimau Malaya dalam ranking dunia merosot empat anak tangga ke-170.

Ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin sudah dijangka berdasarkan keputusan skuad kendalian Vingada yang ketandusan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir termasuk tewas 0-2 di tangan Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober lalu.

Malah, Vingada dilihat sudah memulakan langkah untuk merombak barisannya apabila bersedia membuka pintu lebih luas buat barisan pemain muda.

Selain itu, Kay Kim berkata, faktor ketandusan pemain berkualiti menjadi antara masalah yang dihadapi skuad negara ketika ini.

“Cara kita bermain perlu berubah dari satu zaman ke satu zaman. Sekarang ini tiada lagi pemain yang boleh menggelecek dan melakukan tendangan bola dengan berkesan.”

“Saya sendiri lihat permainan bola sepak kita ketika ini agak membosankan. Tiada lagi pemain hebat seperti (Tan Sri) Abdul Ghani Minhat dan (Datuk) Mokhtar Dahari,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.