Hanya Orang Otak Senget Anggap Bugis Itu Lanun – Nik Abduh

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menyelar kenyataan rasis Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina orang Melayu keturunan Bugis sebagai lanun.

Memetik kenyataannya di Facebook, Nik Abduh berkata hanya orang yang otak senget sahaja gemar memanggil orang Melayu keturunan Bugis sebagai lanun.

“Penjajah dulu memang sakit hati dengan Bugis kerana kepahlawanan mereka menentang penjajah. Penjajah lalu melabel Bugis sebagai lanun. Lanun Bugis.

“Sampai sekarang orang baik-baik akan memanggil Bugis sebagai pahlawan Bugis. Adapun orang yang otak senget atau senget otak, mereka akan memanggil Bugis sebagai lanun Bugis,” ujarnya.

Malah katanya lagi, beliau mempunyai lebih ramai kenalan Bugis serta Jawa berbanding rakan keturunan mamak (kutty).

“Di Kelantan tak ramai Bugis. Tapi saya ada ramai juga kawan Bugis sebab kawan-kawan saya memang seluruh Malaysia adanya. Kalau kawan Jawa tu memang takyah kiralah.. Tenggelam terus kawan Kutty.

“Dalam politik Malaysia, dalam PAS, lanun tak ada. Otak senget pun tak ada. Yang ada hanyalah orang baik-baik dan mempunyai sifat kepahlawanan Bugis walaupun mereka bukan daripada orang berketurunan Bugis.

“Dalam parti lain, ada tak otak senget, saya seganlah nak sebut. Tapi yang gelar Bugis sebagai lanun memang ada..,” katanya lagi.

Terdahulu, semasa berucap di himpunan Anti Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu lalu, Dr Mahathir menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai lanun Bugis yang sesat ke Malaysia.

“Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis,” kata Dr Mahathir. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.