AMANAH Tak Akan Berganjak Dari Wisma Tok Guru

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan akan mencabar arahan mengosongkan bangunan Wisma Tok Guru yang menempatkan pejabat mereka selepas menerima notis berkenaan secara rasmi.

Naib presiden parti itu Datuk Husam Musa berkata beliau akan memfailkan kes berkenaan di mahkamah apabila notis yang didakwa dikeluarkan oleh pemilik tanah dan bangunan itu diterimanya.

Sehingga keputusan muktamad dibuat oleh hakim, kata Husam, AMANAH Kelantan akan terus menggunakan premis berkenaan seperti biasa.

Husam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor juga mendakwa arahan itu tidak jelas kerana mempunyai unsur-unsur yang mengelirukan.

“Notis (mengosongkan bangunan) itu kepada siapa? Kalau kepada saya, kenapa beri kepada saya?

“Kalau hantar notis itu kepada saya, bermakna tanah itu hak saya. Saya tidak tinggal di situ, sebaliknya AMANAH Kelantan,” katanya menjawab soalan pada sesi dialog di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Malaysiakini pada 17 Okt melaporkan AMANAH mungkin terpaksa mencari bangunan baru untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan bangunan dua tingkat dinamakan Wisma Tok Guru di Kampung Padang Lalang, Pendek di Kota Bharu.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan berkenaan.

Selain menempatkan pejabat AMANAH Kelantan ia juga menjadi pejabat Husam selaku ADUN Salor.

Guna sampai bila-bila

Bangunan itu dinamakan sebagai Wisma Tok Guru sebagai memperingati bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Feb 2015.

Husam sebelum ini ialah wakil rakyat PAS sebelum dipecat pada 6 Mei 2016 ekoran krisis dalaman parti itu yang menyaksikan hampir semua pemimpin beraliran sederhana diketepikan perwakilan muktamar pada 2015.

Semasa di dalam PAS Husam pernah dilantik menjadi setiausaha politik Nik Abdul Aziz, anggota parlimen Kubang Kerian dan naib presiden parti

Menurut sumber, bangunan dua tingkat itu didirikan di atas tanah milik balu kepada bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (gambar).

Sebagai rekod, Ahmad Rosli ialah bekas setiausaha Umno Kelantan dan pernah bergiat bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Semangat 46.

Beliau meninggal dunia pada 27 Julai lalu.

Sebelum ini exco Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud mendakwa tapak tanah itu adalah milik kerajaan.

Beliau yang digelar “singa PAS” kemudian mempertikaikan tindakan Husam terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan PAS.

“Saya dah semak tanah itu hak kerajaan. Nak keluar PAS, keluarlah. Nak ambil pejabat PAS kenapa?” soalnya yang petik dalam satu video ceramah di YouTube

Kata Husam beliau juga mendapat maklumat ada beberapa perkembangan yang dianggap luar daripada kebiasaan berkaitan status tanah berkenaan.

Antara yang dibangkitkannya dalam sesi penjelasan itu ialah kemampuan kewangan individu membelinya daripada balu Allahyarham Rosli serta proses penukaran hak miliknya.

 

Pada masa sama Husam mendakwa beliau diberi kebenaran oleh Rosli untuk menggunakan tapak itu melalui sepucuk surat sebelum ini.

“Selepas saya dipecat oleh PAS, saya tanya semula Ahmad Rosli mengenai tanah ini.

“Maka beliau keluarkan surat atas nama isterinya yang membenarkan bangunan dan tanah itu digunakan sampai bila-bila,” katanya sambil menambah ia akan dijadikan bukti apabila kes berkenaan dibicarakan di mahkamah nanti.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.