Warga Emas 71 Tahun Genggam Ijazah Sarjana

KUALA LUMPUR — Pesara guru ini tidak mengenal lelah, benar-benar mengamalkan konsep “belajar sepanjang hayat” yang sering disebut orang tetapi tidak mudah dihayati.

 

Usianya yang sudah 71 tahun tidak menghalang Siwnan Rasakandan, sudah mempunyai tiga cucu, mengejar impiannya untuk bergelar graduan undang-undang.

 

Semalam, di istiadat konvokesyen di sini, dengan bangga warga emas itu berjaya menggenggam ijazah sarjana undang-undang Universiti Malaya (UM).

 

Dengan semangat kental dalam dirinya dan dorongan keluarga, bapa dengan dua anak itu tidak membazir waktu berhibur, malah dunia akademiklah “hiburan” baginya.

 

“Syukur dianugerahkan Tuhan kesihatan yang baik, berkat sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan kuliah saya dapat menghabiskan pengajian dalam masa tiga tahun,” katanya kepada ProjekMMO.

 

“Cabaran itu memang ada tetapi kita kena bijak membahagikan masa antara kerjaya dan belajar. Saya tidak ada masa untuk berhibur. Bagi saya belajar itu satu hiburan.”

 

Mendidik anak bangsa selama 33 tahun, Siwnan pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah-sekolah menengah di Kajang dan Shah Alam.

 

Kini bertugas separuh masa di firma guaman, beliau berkata demi cintakan ilmu, beliau sanggup meneroka bidang baru dan tidak kekok belajar bersama penuntut yang jauh lebih muda.

 

“Rakan-rakan sekuliah, pensyarah dan dekan sangat membantu. Ada yang panggil saya ‘uncle’ tapi jurang umur itu tiada kerana kami belajar bersama-sama,” katanya, ceria.

 

“Suasana pembelajaran di UM sangat bagus.”

 

Tidak cukup dengan sarjana, beliau menyimpan hasrat meneruskan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran pula, dengan mengemukakan tesis kajian tentang “askar kanak-kanak”.

 

“Kanak-kanak seperti di Nigeria, Uganda, Afrika dan Afghanistan dieksploitasi dan dilatih menjadi askar. Apabila dewasa, mereka menyertai kumpulan pemberontak.

 

“Dengan kajian ini, mungkin kita boleh memahami bagaimana ia boleh terjadi.

 

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Dunia juga cuba untuk mengatasi masalah ini dan cuba menyelamatkan mereka melalui pendidikan.”

 

Siwnan meninggalkan pesanan ini untuk anak muda dan mahasiswa: “Jangan takut mencuba benda baru.

 

“Tanamkan minat untuk terus belajar dan anda akan dapat merasakan faedahnya.

 

“Ya, kadang kala tekanan dan penat itu memang ada tetapi itu bukan penghalang seseorang untuk memperoleh kejayaan.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.