Pegang Teguh Petunjuk Al-Quran, Pelihara Perpaduan Dalam UMNO – Ahmad Razif

MARANG – Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman menasihati anggota-anggota UMNO negeri supaya berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran khususnya dalam memelihara perpaduan sesama mereka.

 

Beliau berkata ajaran Al-Quran merupakan benteng yang dapat menjadikan mereka lebih berdisiplin, bermoral dan bersatu padu.

 

“Nasihat saya kepada anggota UMNO, berpegang teguhlah kepada petunjuk Al-Quran dalam perjuangan. Itulah benteng yang paling teguh…kita akan sentiasa kukuh dan harmoni.

 

“…perjuangan dalam politik amatlah berat dan penuh dengan dugaan dan cabaran. Oleh itu, kita perlu menjaga imej dan mempertahan nilai-nilai moral dalam parti,” katanya ketika merasmikan Program Tilawatul Quran dan Marhaban Peringkat Negeri Terengganu anjuran Pergerakan Wanita UMNO Terengganu.

 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A. Latiff Awang dan Ketua Wanita UMNO Marang Toh Puan Zaitun Mat Amin.

 

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata program itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan golongan muda seperti Puteri UMNO.

 

“Ini bagi membolehkan lebih ramai golongan muda menjadi pelapis kepada aktiviti menyuburkan ajaran Al-Quran seperti Tilawah Al-Quran dan Marhaban di negeri ini,” katanya.

 

Beliau berkata kerajaan negeri juga terus memperkasa ilmu Al-Quran dengan menambah baik kelas Tamayyuz di semua sekolah menengah agama.

 

Selain itu, katanya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu menubuhkan tiga pondok moden masing-masing di Kuala Nerus, Besut dan sebuah lagi di Hulu Terengganu.

 

“Jika usaha ini berterusan dari semasa ke semasa, dalam 10 atau 20 tahun akan datang Terengganu akan mencapai matlamat Melahirkan Huffaz Terengganu Bertaraf Antarabangsa dan Terengganu; Negeri Sejuta Huffaz,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.