Kerajaan Perlu Serius Tangani Masalah Uber, Grabcar

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu serius menangani permasalahan yang dihadapi oleh pemandu teksi selepas kewujudan perkhidmatan Uber dan Grabcar di negara ini.

 

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, seramai kira-kira 20,000 pemandu teksi telah menyerahkan semula kenderaan mereka berikutan tidak mampu untuk menanggung operasi dan beban disebabkan kewujudan Uber dan Grabcar.

 

“Pendapatan pemandu teksi ini terkesan apabila mereka (kerajaan) seolah-olah menghalalkan operasi Uber dan Grabcar ini yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

 

Abdullah Sani berkata, kenyataan menteri sebelum ini yang mendakwa ramai pemandu teksi menyerahkan semula kenderaan mereka bagi menerima subsidi sebanyak RM5,000 untuk menukar sistem pajak kepada lesen persendirian dianggap sebagai tidak mencerminkan keadaan sebenar.

 

Ujar beliau, pemandu teksi tidak mungkin melakukan tindakan sedemikian malah kenyataan tersebut merupakan satu kawapan yang tidak bermoral.

 

“Pemandu teksi telah sarat dengan penderitaan malah periuk nasi mereka juga terjejas disebabkan Uber dan Grabcar ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah mencadangkan agar kerajaan menangguhkan cadangan untuk membawa akta Uber dan Grabcar ini sebelum diluluskan.

 

Menurut beliau, ini adalah kerana pihaknya mendapat maklumat bahawa pada awal tahun 2017 nanti, terdapat satu syarikat milik kerajaan bercadang untuk membeli syer dan perkhidmatan Uber serta Grabcar.

 

“Dalam persidangan akan datang pada Mac tahun hadapan, kerajaan akan laksanakan akta Uber dan Grabcar ini yang akan jejaskan pendapatan pemandu teksi,” katanya.

 

Selain daripada itu, Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin memaklumkan bahawa taksi, Uber dan Grabcar merupakan perkhidmatan buat rakyat dan apa sahaja undang-undang yang ingin dilaksanakan perlu selaras.

 

Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan undang-undang sedemikian bagi menggelakkan berlakunya ‘double standard’ dan penganiayaan kepada pemandu teksi.

 

“Kalau Uber dan Grabcar boleh guna kereta sendiri, maka teksi pun boleh dan undang-undang ketiga-tiga perkhidmatan ini perlu selaras,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.