Kempen Terdesak Donald Trump, Dakwa Berlaku Penipuan Pilihan Raya

WASHINGTON – Donald Trump pergi lebih jauh dalam usahanya untuk mencetuskan kesangsian terhadap keabsahan pilihan raya Amerika Syarikat dengan berkata di Twitter, dia percaya akan berlaku penipuan dalam keputusan pengundian di kebanyakan tempat mengundi.

 

Dia berkata demikian selepas calon naib presidennya, Mike Pence berkata, Parti Republikan akan menerima keputusan pilihan raya 8 November depan antara Trump dan pesaingnya dari Parti Demokratik, Hillary Clinton.

 

“Penipuan dilakukan dalam pilihan raya ini oleh media yang tidak jujur yang mahukan Hillary menang – juga di kebanyakan tempat mengundi – SEDIH,” tulis Trump dalam Twitter.

 

Ia kenyataan terbaru yang dibuatnya sejak beberapa hari lalu berkait dengan keadilan pilihan raya itu.

 

Trump yang ketinggalan di belakang Hillary dalam kajian pendapat tidak memberi sebarang bukti untuk menyokong dakwaan berlaku penipuan di pusat mengundi.

 

Pengundian awal dan menerusi mel sudah bermula di kebanyakan negeri.

 

Bilionair hartanah itu yang tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan sering berkata, proses pemilihan dirancang bagi memastikan dia kalah, termasuk ketika persaingan untuk menjadi wakil Republikan.

 

Kecaman baru mengenai laporan berat sebelah oleh media berpunca daripada dakwaan beberapa wanita bahawa mereka menjadi mangsa serangan seksual Trump.

 

Kenyataannya mengenai penipuan dalam pilihan raya itu menimbulkan tanda tanya, baik dalam kalangan Republikan mahupun Demokrat mengenai sama ada dia akan menerima keputusan pilihan raya jika dia kalah kepada Hillary.

 

Selepas debat pusingan pertama September lalu, Trump berkata, dia sudah pasti akan menerima keputusan itu. Tetapi, beberapa hari kemudian, dia berkata: “Kami akan melihat apa yang berlaku.”

 

Dia juga menggesa penyokongnya mengawasi lokasi mengundi bagi ‘menghalang pilihan raya dicuri.’ – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.