Jangkitan Virus Zika Terkawal

KUALA LUMPUR – Pencegahan dan kawalan jangkitan virus Zika setakat ini telah menunjukkan keberkesanan dan kes penyakit itu masih bersifat sporadik dan tidak merebak dengan pantas seperti di negara lain kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

 

 

Beliau berkata, pelbagai program pencegahan yang telah dilaksanakan pihak kementerian secara bersepadu bersama kementerian lain serta agensi didapati berkesan dan menunjukkan impak yang positif.

 

 

“Kita berjaya mengekang kemasukkan Zika dari rantau utama yang bermasalah iaitu Amerika Tengah dan Selatan. Namun, apabila Zika diimport ke negara jiran kita dan kemudiannya merebak dengan cepat, risiko kemasukan ke Malaysia amat tinggi kerana pergerakkan penduduk merentasi sempadan amat tinggi.

 

 

“Kita juga melakukan pemantauan di pintu masuk antarabangsa serta mengedarkan Nasihat Kesihatan (Health Advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia sekiranya mempunyai gejala virus Zika,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

 

“Saringan suhu juga dilakukan bagi memantau kemasukan pelawat yang mempunyai gejala demam,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai pelan tindakan kementerian dalam mengekang penularan virus Zika terutamanya membasmi kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan yang mencatat bacaan tertinggi bagi pembiakan nyamuk itu.

 

 

Dr Subramaniam berkata, pemantauan, penyelarasan dan penentuan dasar tindakan pencegahan dan kawalan telah dilaksanakan di pelbagai peringkat termasuk kebangsaan, negeri dan daerah.

 

 

Beliau berkata, dari 31 Ogos hingga 8 Okt tahun ini, hanya tujuh kes jangkitan virus Zika disahkan di seluruh negara iaitu dua di Sabah, dua di Johor, dan masing-masing satu satu di Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

 

 

Katanya, prinsip dan strategi yang diguna pakai bagi menghadapi sesuatu ancaman penyakit yang baru termasuk Denggi, virus Zika dan Chikungunya terbahagi kepada tiga fasa iaitu pencegahan kemasukkan, mengekang penularan yang meluas dan kawalan.

 

 

“Tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani Denggi juga berkesan terhadap Zika. Dalam konteks ini, tumpuan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) adalah ke arah tanggungjawab dan penyertaan masyarakat dalam memastikan persekitaran yang bebas Aedes,” katanya.

 

 

Menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) mengenai ketiadaan saringan suhu di Lapangan Terbang Sibu, Dr Subramaniam berkata pengawasan saringan suhu hanya dilakukan di pintu masuk antarabangsa sahaja memandangkan ia adalah laluan utama pelawat asing ke negara ini sebelum ke pintu masuk domestik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.