Final Piala Malaysia Kekal Di Stadium Shah Alam

MESKIPUN terdapat desakan daripada segelintir pihak yang mahu venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 diadakan di stadium berkecuali, namun Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tetap dengan pendirian untuk mengadakan perlawanan tersebut Stadium Shah Alam pada 30 Oktober ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, perkara mengenai venue perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini telah dimaklumkan lebih awal dan susunan tarikh jadual telah dilakukan sejak penghujung tahun lalu.

 

Sebagai rekod, aksi final kejohanan yang memasuki edisi ke-90 itu sekali lagi bakal melibatkan dua pasukan besar tanah air, Selangor menentang Kedah, sekali gus mengulangi pentas akhir pada musim 2008 dan 2015.

 

Susulan itu, hampir sebilangan besar penyokong skuad Helang Merah berharap perlawanan kali ini diadakan di stadium berkecuali supaya tidak memberikan kelebihan buat Selangor yang telah selesa beraksi di Stadium Shah Alam.

 

“Saya boleh sahkan bahawa venue perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini kekal di Stadium Shah Alam dan bakal berlangsung pada 30 Oktober ini iaitu hari Ahad. Keputusan ini adalah hasil persetujuan pada satu mesyuarat melibatkan kedua-dua persatuan berkenaan (kedah dan Selangor).

 

“Pada final kali ini, sebanyak 72,000 tiket akan disediakan. Setiap pasukan akan diperuntukkan 30,000 tiket manakala 10,000 lagi untuk jualan atas talian. Baki 2,000 tiket adalah untuk kanak-kanak berusia 12 tahun,” kata Kevin ketika ditemui di Stadium Shah Alam semalam.

 

Turut hadir pada sidang akhbar semalam ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd. Ibrahim, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar.

 

Jelas Kevin lagi, tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu akan dijual serentak di Stadium Shah Alam dan Stadium Darul Aman, Alor Setar bermula pukul 10 pagi pada 26 Oktober ini.

 

Harga tiket telah ditetapkan RM50 sekeping untuk dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

 

Mengulas mengenai keputusan mengekalkan venue perlawanan tersebut di Stadium Shah Alam, Kevin menegaskan, lokasi pentas akhir boleh diubah tetapi ia mungkin tidak cukup untuk menampung permintaan penyokong kedua-dua pasukan kerana tidak memiliki kapasiti besar seperti di Shah Alam.

 

Stadium Nasional di Bukit Jalil tidak boleh digunakan kerana masih dalam proses menaik taraf sebagai persediaan menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

 

“Kami boleh mengadakan perlawanan akhir di stadium yang memiliki kapasiti sebanyak 40,000. Namun, ia tidak cukup untuk menampung permintaan, malah wakil KFA, Datuk Aminuddin ada meminta tambahan jumlah tiket ketika mesyuarat tadi (semalam) kerana 30,000 tiket masih belum mencukupi buat mereka,” jelasnya lagi. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.