Dunia Diambang Perang Dingin Kedua?

KETEGANGAN antara Ame­rika Syarikat (AS) dan Rusia semakin memuncak sejak kebelakangan ini dengan situasi politik global itu disifatkan lebih berbahaya berbanding semasa tempoh era Perang Dingin.

 

 

Perang saudara di Syria dipercayai menjadi punca utama kepada peningkatan ketegangan itu apabila AS dan negara-negara Barat lain dilapor mahu Rusia disiasat kerana melakukan jenayah perang di negara ber­kenaan.

 

 

Sejak penglibatan Rusia yang merupakan sekutu Presiden ­Syria, Bashar al-Assad dalam perang saudara di Syria tahun lalu, jumlah rakyat negara itu yang terbunuh semakin mening­kat ekoran tindakan Moscow menggunakan bom yang lebih memudaratkan termasuk dakwaan penggunaan bom berangkai di Aleppo.

 

 

Jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat me­ngundang kritikan dan bantahan Amerika serta negara Barat lain termasuk Perancis.

 

 

Negara-negara itu turut membuat usul di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya Rusia menghentikan serangan di Aleppo.

 

 

Bagaimanapun, Moscow menggunakan kuasa veto bagi menghalang usul tersebut bagi melindungi sekutunya yang ‘terdesak’ untuk menawan semua wilayah di negara itu daripada kumpulan penentang yang sebahagiannya mendapat soko­ngan AS.

 

 

Pada masa sama, langkah Pe­rancis mengemukakan draf di UNSC dikatakan menjadi punca pembatalan lawatan Presiden Rusia, Vladimir Putin ke negara berkenaan pada minggu ini.

 

 

Terbaharu, Moscow dilapor mengukuhkan aset ketenteraannya di Syria dengan menghantar sistem pertahanan udara Rusia yang dikenali sebagai S-300 VM bagi menyokong kemampuannya mengawal ruang udara di negara bergolak itu.

 

 

Tindakan tersebut dilihat sebagai satu peringatan dan provokasi terhadap Washington yang mengetuai pakatan tentera udara dari pelbagai negara yang me­lancarkan kempen memerangi militan Daesh di Syria supaya tidak mencampuri urusan tentera Bashar.

 

 

Ketua jurucakap media Kremlin, Dmitry Kiselyov dipetik sebagai berkata, Rusia juga tidak teragak-agak akan menembak jatuh jet pejuang AS yang berada dalam lingkungan kemampuan sistem itu.

 

 

Amaran itu dipercayai berpunca daripada tindakan tentera perikatan AS yang melakukan sera­ngan udara ke kedudukan tentera Syria yang sedang memerangi Daesh sehingga membunuh sebanyak 90 orang anggota dalam satu kejadian di Deir al-Zour.

 

 

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov dalam satu ke­nyataan, AS perlu berfikir dua kali sebelum menyerang pangkalan udara Syria atau menanggung aki­bat daripada sebarang ranca­ngan tersebut.

 

 

Tidak cukup dengan itu, Rusia turut meletakkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear yang mampu mencapai jarak 700 kilometer, Iskander-M ke Kaliningrad di sempadan Poland-Lithuania.

 

 

Langkah itu jelas mendatangkan kebimbangan terhadap negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Poland dan Lithuania yang berada dalam jarak lingkungan Iskander dengan peluru berpandu tersebut juga dikatakan mampu sampai ke Berlin.

 

 

Difahamkan, Moscow sebenarnya mahu menguasai rantau Laut Baltik selepas Rusia merampas Kaliningrad daripada Jerman pada 1945 bagi mengukuhkan penguasaannya di perairan itu sama seperti yang dilakukannya di Laut Hitam.

 

 

Moscow bagaimanapun me­nyifatkan langkah sebagai satu latihan ketenteraan namun apa yang pasti, negara-negara Barat jelas bimbang dengan perkembangan terbaharu tersebut.

 

 

Tindakan Rusia itu juga dikatakan satu pencabulan perjanjian antarabangsa yang mengehadkan penempatan peluru berpandu dalam jarak 500 kilometer sahaja.

 

 

Menurut Menteri Luar Jerman, Frank-Walker Steinmeir, situasi semasa melibatkan negara kuasa dunia itu lebih berbahaya apabila kepercayaan antara Washington dan Moscow semakin terhakis dan kian memburuk.

 

 

“Sebelum ini, dunia terbahagi kepada dua namun Moscow dan Washington tahu garis sempadan dan masing-masing menghormatinya.

 

 

“Jika keadaan ini berterusan, kita akan kembali dalam era konfrontasi antara dua negara kuasa besar. Namun sukar untuk kita percaya, keadaan itu sama de­ngan Perang Dingin lama,” kata­nya.

 

 

Jelas beliau, tindakan Rusia ketika ini mengundang kebimbangan kepada masyarakat dunia yang khuatir akan berlakunya Perang Dunia Ketiga atau Perang Dingin Kedua.

 

 

Ini diburukkan lagi dengan langkah Moscow memanggil pulang rakyatnya di luar negara tanpa alasan kukuh yang menimbulkan bayangan perang sudah pasti berlaku dalam masa terdekat.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.