Ada Parti Politik Dalang Bantah RUU 355 Kata Hadi Awang

Presiden Pas menganggap ada parti politik menjadi dalang kepada bantahan Majlis Konsultatif Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism Malaysia (MCCBCHST) terhadap Rang Undang-Undang 355.

 

 

Tanpa menamakan parti politik itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu kesemua mereka kembali kepada asas Perlembagaan di negara ini.

 

 

“Saya membaca satu laporan berita daripada akhbar Malay Mail Online bertajuk “Interfaith group urges MPs to reject Hadi’s Bill, says will empower hudud” menyebut bahawa MCCBCHST menyeru ahli Parlimen Malaysia menolak RUU 355.

 

 

“Bagi pihak umat Islam, saya terlebih dahulu mengajak semua pihak yang terlibat dengan kenyataan tersebut dan dalang yang berada dibelakangnya daripada parti politik supaya kembali kepada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

 

“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.

 

 

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, mereka perlu menghargai jasa pemimpin semua kaum dan agama yang telah berjaya memasukkan perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

 

“Pas yang tidak menyertai PERIKATAN (UMNO, MCA dan MIC) adalah satu-satunya parti pembangkang yang telah wujud dan mempunyai hanya satu kerusi dalam Pilihanraya Umum pra kemerdekaan tahun 1955, ketika parti-parti lain khususnya dalam Pakatan Harapan belum dilahirkan di alam dunia ini,” katanya.

 

 

Hudud, kata Abdul Hadi, terus menjadi senjata sejak zaman berzaman kepada Pas tetapi RUU 355 bukan hukum hudud.

 

 

“Perkara yang tercakup dalam RUU 355 adalah bagi memperkenalkan konsep kehakiman dalam Islam. Ya! Semua undang-undang adalah wajib melalui proses kehakiman yang adil termasuk hudud. Adakah mereka fahami bahawa Islam ini adalah agama kelam kabut yang tidak ada sistem kehakimannya, maka penganut Islam bergantung kepada tunjuk ajar warisan penjajah semata-mata?” soalnya.

 

 

Menurut Abdul Hadi, undang-undang Islam merangkumi seluruh kehidupan manusia daripada sudut individu, keluarga, kemasyarakatan, negara sehinggalah antarabangsa dan tidak adil terhadap Islam, kalau hukuman hudud terus sahaja dipotong tangan, seolah-olah hukum Islam termasuk hukum keluarga tidak perlu kepada proses kehakiman yang adil di mahkamah.

 

 

Pada masa sekarang, katanya, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah adalah sangat terbatas dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.

 

 

“Mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atauSyariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

 

 

“Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu.

 

 

“Bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa Majistret Kelas Pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat dua belas kali atau gabungannya.

 

 

“Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Dengan pindaan itu, dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang Majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim Mahkamah Syariah,” katanya.

 

 

Menurutnya, jika seorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah dan ia tidak dilepaskan orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu.

 

 

“Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim Mahkamah Syariah dalam perkara itu dengan kuasa Majistret,” katanya.

 

 

Tegasnya, RUU 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja maka Abdul Hadi menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan al-Quran, sunnah termasuk dalam hubungan masyarakat majmuk di Malaysia kerana konsepnya yang kekal.

 

 

“Walaupun kewujudan masyarakat majmuk di sini adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya bagi agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat.

 

 

“Demi melihat kepada penyelesaian terhadap gejala jenayah dan keruntuhan akhlak yang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia yang tercinta ini, maka saya mengajak kumpulan berbagai agama itu supaya kembali kepada kitab suci agama masing-masing, supaya mengambil sudut undang-undang yang ada didalamnya dan mengkaji perbandingan dengan undang-undang Islam termasuk hudud dan perbandingannya dengan undang-undang warisan penjajah yang tidak ada dalam kitab suci semua agama. Sila tunjukkan kepada kami.

 

 

“Kami mengajak pihak lain supaya melihat Islam secara langsung daripada sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat. Bukannya budaya ISIS dan DAESH berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti yang dipaparkan oleh Barat dan medianya yang merancang terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi,” katanya.-MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.