Malaysia Sekali Lagi Kutuk Cubaan Israel Ubah Ciri-Ciri Bandar Suci Baitulmuqaddis

KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mengutuk tindakan Israel mencetuskan provokasi, keganasan dan semua percubaan untuk mengubah ciri-ciri dan status bandar suci Baitulmuqaddis.

 

 

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Ramlan Ibrahim berkata segala percubaan jahat seperti itu secara jelas mencabul pelbagai resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.

 

 

“Sekali lagi, majlis itu telah diberi amaran mengenai situasi ibarat sebuah bom jangka yang berdetik di wilayah diduduki Palestin ketika rakyatnya semakin terdesak akibat ditindas, dihina setiap hari di bawah pendudukan paling lama dalam sejarah moden.

 

 

“Namun sekali lagi, majlis ini tidak berbuat apa-apa,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan PBB Mengenai Situasi Timur Tengah dan Persoalan Palestin di New York, semalam.

 

 

Ramlan berkata Perhimpunan Agung, Jawatankuasa Khas Bagi Menyiasat Amalan Israel Menjejas Hak Asasi Penduduk Palestin dan Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak Mutlak Rakyat Palestin bersungguh-sungguh melaporkan pelbagai kekejaman oleh kuasa penjajah itu tahun demi tahun sejak beberapa dekad lepas,.

 

 

Namun, katanya usaha itu tidak menghasilkan sebarang langkah berkesan untuk menangani bentuk ketidakadilan yang serius.

 

 

Oleh itu, Ramlan berkata Malaysia menggesa majlis itu supaya segera bertindak memandangkan situasi semakin meruncing bagi menangani punca konflik dan akhirnya mencari titik noktah kepada pendudukan paling lama dalam sejarah moden.

 

 

“Jika kita terus ‘buta’ kepada msalah ini, maka tidak ada keraguan bahawa kita akan membayar harga yang lebih tinggi pada masa depan, sekali gus menjejaskan kepentingan jangka panjang Palestin, Israel dan dunia,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.