Yayasan Felda Peruntuk RM50 Juta Bina 9,000 Rumah

Kota Baharu – Yayasan Felda memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi membina rumah baharu dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan di negara ini menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Emel Faizal Mohd. Mokhtar berkata, peruntukan melibatkan pembinaan 9,000 unit rumah di luar kawasan Felda itu diberikan berdasarkan keuntungan yang diperoleh Felda, tahun sebelum ini.

“Alhamdulillah hasil keuntungan yang diperoleh Felda turut dinikmati golongan kurang berkemampuan dan ia tidak terhad kepada peneroka sahaja,” katanya kepada pemberita pada Program Kami Prihatin Yayasan Felda peringkat Parlimen Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok di sini, hari ini.

Katanya, yayasan itu turut memberi bantuan lain seperti cermin mata dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada mereka tinggal di luar kawasan Felda.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Annuar berkata beliau berterima kasih kepada Yayasan Felda kerana turut bersama-samanya membantu rakyat di Parlimen Ketereh melalui pelbagai kemudahan yang disediakan. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.