SPRM – Sikap Pihak Berkuasa Faktor Berlaku ‘Ali Baba’

Kuala Lumpur – Sikap memandang rendah terhadap keupayaan sesetengah syarikat milik Bumiputera oleh pihak berkuasa menyebabkan berlakunya projek “Ali Baba”, kata Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mendedahkan perkara itu, Abu Kassim berkata terdapat kes di mana pihak berkuasa yang memantau sesuatu projek meminta agar projek berkenaan diserahkan kepada kontraktor bukan Bumiputera atas alasan “khuatir projek terlewat daripada jadual asal.”

“Tetapi oleh kerana kita takut akan dimarahi malah ada kes pihak yang berkuasa memantau kerja, beritahu kepada syarikat Bumiputera ‘you ini ada masalah, baik you bagi dekat syarikat bukan Bumiputera yang boleh buat kerja cepat kalau tidak nanti projek terbengkalai’,” kata Abu Kassim ketika forum anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), semalam.

Perkara itu katanya tidak sepatutnya berlaku kerana sudah ada prosedur yang menuntut pihak berkuasa perlu memastikan sesuatu projek itu perlu dilaksanakan dan dipatuhi mengikut tempoh masa dan spesifikasi yang telah ditetapkan.

“Pegawai yang jaga projek kalau tengok perniagaan ‘Ali Baba’ yang jalankan, buat laporan terus tarik balik, kenapa susah sangat? Perkara mudah, sudah ada dalam prosedur kenapa tidak buat?” katanya.

“Jika syarikat itu tidak didafatar, di-Ali Babakankan, bagi notis, senarai hitam, tarik balik kerana itu hak yang diberikan untuk Melayu. Ambil tindakan tegas supaya orang lain tidak buat,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab memantau perkara seumpama itu juga terletak di bahu pihak berkuasa dan tidak seharusnya kerajaan dipersalahkan memandangkan ianya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan perkara itu.

“Sepatutnya mereka memantau dan memastikan semua prosedur dilaksanakan dan dipatuhi.

“Salah kerajaan ke salah manusia ini?,” katanya dalam Forum Transformasi: Barah Ali Baba di Bumi Merdeka di sini.

Menurut Abu Kassim, tidak ada masalah sekiranya sebahagian daripada kerja-kerja diberikan kepada kontraktor bukan Bumiputera bagi melancarkan sesuatu projek, namun sikap mengambil untung “atas angin” semakin berleluasa.

“Dalam realiti kehidupan, orang Melayu tidak boleh hidup tanpa bukan Melayu. Agihkan projek kepada orang luar ini perkara biasa.

“Yang dimaksudkan di sini ialah serah semua kepada orang luar. Dapat sahaja projek terus minta lima peratus, itu yang kita hendak perangi habis-habisan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.