Ringgit Dijangka Lemah Minggu Depan

Kuala Lumpur – Ringgit dijangka lemah minggu depan disebabkan aliran keluar dana asing ke Amerika Syarikat sebagai kesan kelembapan ekonomi Eropah, kata seorang peniaga.

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata faktor-faktor ini selain keputusan Rizab Persekutuan AS mengecilkan pelonggaran kuantitatif adalah tiga risiko utama dalam penggal terdekat.

Bagaimanapun, katanya, risiko berkenaan seharusnya dapat ditampan oleh tiga pemangkin utama iaitu Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah, menaik taraf rating negara susulan Bajet 2015 yang berdisiplin dan mudah tunai domestik mencukupi dengan bank pusat menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem perbankan tempatan.

“Faktor-faktor ekonomi makro positif termasuk rizab antarabangsa yang besar, kadar inflasi sederhana dan perbelanjaan berterusan kerajaan selepas Bajet 2015 akan mengimbangi risiko kemerosotan,” katanya.

Pasaran akan ditutup pada Rabu bersempena cuti umum perayaan Deepavali.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 3.2730/2750 daripada 3.2560/2580 pada Jumaat lepas.

Unit tempatan itu mengakhiri minggu ini rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.2712/2760 daripada 5.2285/2327 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 2.5721/5743 daripada 2.5593/5613 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding yen pada 3.0724/0751 berbanding 3.0154/0181 dan merosot berbanding euro pada 4.2006/2038 daripada 4.1254/1282.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.