Polis Selangor Mohon Bantuan Orang Ramai Buru 4 Suspek Terlibat Kes Bunuh

Shah Alam  – Polis Selangor memohon bantuan orang ramai untuk mengesan empat lelaki yang dikehendaki selepas dipercayai terbabit dengan empat kes bunuh di sekitar negeri itu sejak Jun hingga Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, empat suspek itu terdiri daripada tiga warga asing dan seorang warga tempatan berusia 28 hingga 46 tahun.

“Suspek pertama dikenali sebagai Rashu, 46, warganegara Myanmar dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang tidak dapat dikenal pasti di bawah pencawang elektrik TNB di Ijok, Kuala Selangor pada 1 Jun lalu.

“Suspek kedua ialah K V Sasindaran, 28, beralamat terakhir di 510, Blok 9, Jalan Cangkul 19/3, Seksyen 19, 40300, Shah Alam, Selangor,” katanya.

Mohd Adnan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua suspek itu boleh menghubungi Inspektor Muhammad Rozaini Rosmin di talian 012-2398705 atau Asisten Superintendan Lai Lee Pen di talian 018-2418249.

Sementara itu, Mohd Adnan berkata, dua lagi suspek dikenali sebagai Md Jahangir Hossain, 36, dan Kyaw Kyaw Linn, 30, masing-masing warganegara Bangladesh dan Myanmar.

“Md Jahangir dipercayai terbabit dengan kes penemuan mayat dalam guni di hutan berhampiran sebuah kilang di Hulu Yam, pada 13 Julai lalu, manakala Kyaw pula disyaki terbabit dalam pergaduhan dengan seorang rakan senegaranya sehingga menyebabkan kematian lelaki berkenaan di Batu 9 Kinrara, Puchong pada 10 Ogos lalu.

“Untuk kes Md Jahangir, orang ramai boleh berhubung dengan Inspektor Ahmad Safie di talian 013-6049549 manakala bagi kes Kyaw boleh hubungi Asisten Superintendan Shaizal Md Som di 012-2631696,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.