Azmin Bakal Digugurkan Sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Selangor?

Shah Alam – Khabar yang mengatakan jawatan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Selangor yang disandang Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan ditarik balik, masih menjadi tanda tanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari ketika diminta mengesahkan perkara tersebut bagaimanapun memaklumkan tidak mengetahui sebarang perkhabaran mengenainya.

“Tunggulah sehingga lantikan.. kemudian baru saya jawab.

“Kita bercakap atas perkara yang tidak pasti… tak bolehlah,” katanya.

Sumber memaklumkan jawatan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang disandang Azmin, bakal digantikan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar ketika diminta mengulas hal yang sama hanya berkata ‘itu keputusan parti’.

“Tidak.. tidak.. ini keputusan parti. Presiden akan buat keputusan menamakan Pengerusi MPN Negeri. Bila siap, kita akan buat pengumuman,” ulasnya ringkas.

Perkembangan terbaru itu memberi gambaran bahawa Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa itu seolah-olah tidak diredhai parti dan pimpinan tertingginya untuk menjadi menteri besar.

Malah, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga mengumumkan parti membuat beberapa rombakan jawatan dalam kepimpinannya.

Rombakan itu menyaksikan Rafizi diberi kepercayaan memegang dua jawatan penting dalam PKR iaitu naib presiden dan setiausaha agung parti.

Pelantikan Rafizi itu dikatakan sebagai strategi Anwar untuk ‘mengawal’ Azmin, namun ia dinafikan oleh menteri besar itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.