Liberia Kekurangan Beg Mayat Akibat Ebola

Liberia – Liberia kini berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan beg mayat, pakaian perlindungan, topeng muka, sarung tangan dan cermin mata yang penting bagi mencegah penyebaran virus Ebola di negara itu.

Liberia salah satu daripada tiga negara yang paling terjejas oleh wabak itu hanya memiliki 4,900 beg mayat.

Negara tersebut hanya memiliki 18,000 kotak sarung tangan, sedangkan ia memerlukan 2.4 juta kotak bagi tempoh enam bulan akan datang. Setiap kotak mempunyai 100 pasang sarung tangan.

Ia juga memerlukan kira-kira 1.2 juta pakaian perlindungan, sedangkan dalam masa yang sama hanya memiliki 165,000 pasang.

Memetik laporan CNN, pekerja kesihatan di negara ini telah melancarkan mogok untuk menuntut gaji yang lebih tinggi, sekaligus meninggalkan beberapa klinik tanpa pengawasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak wabak itu bermula pada Mac lalu, dianggarkan 9,000 kes Ebola dan 4,493 kematian telah dilaporkan, kebanyakannya di Guinea, Liberia dan Sierra Leone manakala lebih daripada separuh kematian berlaku di Liberia. Jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat.

WHO menjangka kemungkinan sehingga 10,000 kes Ebola berlaku setiap minggu di tiga negara yang paling teruk terjejas, menjelang akhir tahun ini. Ia memberi amaran bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk lagi sebelum beransur pulih.

Liberia memiliki beberapa bekalan yang akan tiba pada minggu depan, tetapi masih belum mencukupi. Produk yang dijadual tiba tidak termasuk beg mayat.

Selain tiga negara itu, beberapa kes Ebola juga telah dilaporkan berlaku di Senegal, Nigeria, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.