Kelantan Tetap Laksana Hudud

Kota Baharu – Kerajaan Kelantan tetap melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah II (Hudud) di negeri itu walaupun tidak dipersetujui oleh masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pelaksanaan undang-undang berkenaan hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam di negeri itu.

“Orang bukan Islam tidak boleh menentang hukum Hudud ini kerana ia langsung tidak membabitkan mereka (bukan Islam),” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Bajet 2015 kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya optimis undang-undang berkenaan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kita dah tubuh jawatankuasa dan mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, insya-Allah kita doakan pada tahun 2015 hudud dapat direalisasikan.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan dah dua kali mesyuarat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Ketika ditanya perlukah PAS mendapatkan persetujuan rakan sekutunya DAP, Mohd Nassuruddin berkata perkara itu tidak timbul.

“Sekarang tak timbul soal kita perlu persetujuan DAP kerana ia melibatkan orang Islam dan hudud hanya untuk orang Islam yang lakukan kesalahan,” katanya.

Terdahulu ketika sesi soal jawab, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya akan mengenakan tindakan ke atas mana-mana lelaki Islam yang didapati sengaja tidak menunaikan solat Jumaat.

Katanya, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 104 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan daripada Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) bagi mewujudkan satu pasukan pemantau dalam kalangan wanita bagi memantau golongan lelaki yang didapati sengaja tidak menunaikan solat Jumaat.

Dewan kemudiannya meluluskan Bajet 2015 itu dan persidangan akan disambung ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.