Jangan Sertai Militan Untuk Berjihad – Dewan Ulama PAS

Kota Baharu – Masyarakat Islam di negara ini tidak perlu melibatkan diri dengan kegiatan militan atas alasan berjihad kerana mereka mempunyai banyak ruang untuk berjihad dari aspek pendidikan dan ekonomi di Malaysia, kata Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata kegiatan merekrut rakyat negara ini menyertai kumpulan militan untuk berjuang di Syria tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

“Kita tidak tahu matlamat sebenar kumpulan ini dan kita perlu berhati-hati dengan perkataan atau kalimah yang digunakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Khalifah: Kita Pilihan ALLAH di sini, pada Jumaat.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata golongan ibu bapa perlu memantau pergerakan anak masing-masing yang menuntut di rantau Asia Barat bagi memastikan mereka tidak menyertai kumpulan militan.

“Ibu bapa mesti tanya khabar anak di luar negara dan perlu mengetahui bidang apa yang mereka pelajari dan siapa kawan mereka. Ini semua perlu ditanya kerana bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah mengenal pasti individu yang menjadi penggerak utama dalam merekrut rakyat tempatan menyertai kumpulan militan di Syria.

Sebanyak 14 individu ditahan termasuk tiga orang kerana disyaki penggerak utama yang bertanggunjawab merekrut, membiayai dan mengatur pemergian rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai kumpulan Negara Islam (IS).

Setakat ini, 37 orang telah ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kumpulan militan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata PAS menghormati tindakan bekas Anggota Parlimen Batu Berendam, Mohd Tamrin Tun Ghafar yang mengisytiharkan diri keluar daripada parti berkenaan.

“Sebagai sebuah negara demokrasi tidak boleh kata apa-apa, mungkin dia ada tujuan dia keluar. Kita dengan rela hati dan tidak ada masalah cuma kena berlapang dada,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.