Video & Gambar: Fenomena Puting Beliung ‘Belalai Air’ Di Sarawak

Miri – Fenomena ‘belalai air’ iaitu pusaran angin yang hanya berlaku di permukaan air melanda kawasan pesisiran utara Sarawak iaitu di Bandar Bintulu dan Bandaraya Miri, hari ini.

Fenomena yang pada mula menimbulkan keresahan penduduk di sekitar kawasan terbabit, sehinggakan ramai yang berkongsi gambar dalam media sosial seperti Facebook serta Twitter, berakhir dengan kelegaan apabila tiada kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Belalai air paling jelas dapat dilihat di Bintulu manakala di Miri hanya dapat dilihat di kawasan Niah dan mengikut saksi, fenomena belalai air di Bintulu berlaku antara 8.30 pagi dan 10 pagi.

Francis Ngu, 39, yang telah menetap di Bintulu lebih 20 tahun berkata, ketika kejadian cuaca amat gelap dan kebanyakan orang berkejar ke Kidurong untuk melihat sendiri fenomena berkenaan.

“Saya dimaklumkan oleh rakan serta melihat gambar dikongsi dalam media sosial dan saya terus memandu ke Kidurong untuk melihat sendiri fenomena tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Francis berkata, fenomena itu berlaku dalam tempoh tidak sampai 20 minit namun mengakui ia pengalaman menakutkan kerana bimbang ia akan berlanjutan ke darat dan membahayakan penduduk.

“Saya dah lama menetap di Bintulu dan ini pertama kali saya menyaksikan kejadian ini,” katanya.

Mohd Zaidi Amri, 40, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Miri dari Sibu turut menyaksikan fenomena tersebut dan menganggap ia pengalaman menakutkan.

“Saya selalu tengok cerita kat televisyen, kejadian ini tak sangka boleh berlaku kat sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di-Hata Gobel, berkata setakat petang ini, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berkaitan fenomena berkenaan.

Jurucakap Jabatan Meteorologi di Kuching, ketika dihubungi, berkata belalai air atau puting beliung kecil biasanya berlaku di kawasan pesisiran pantai dan ia akan hilang apabila menghampiri permukaan darat dan tidak membawa bencana.

Puting Beliung Sabah 1

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Puting Beliung Sabah 3

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.