Penasihat MB Perak Tegur Pemimpin PH, Jangan Bertindak Kebudak-Budakan

IPOH – Penasihat Khas Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menegur sikap tidak matang seorang pemimpin tertinggi dalam parti komponen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri yang mempertikaikan keupayaan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, tindakan mengkritik sebarang keputusan yang dibuat oleh Ahmad Faizal termasuk dalam hal pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah perkara yang tidak wajar dilakukan.

Katanya, ini kerana kuasa pelantikan setiap ahli majlis PBT perlu melalui perbincangan oleh Menteri Besar dan barisan Exco menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri.

“Sebagai pemimpin, Menteri Besar memberi peluang kepada parti-parti komponen menamakan calon mereka namun untuk membuat keputusan dalam menentukan pelantikan itu, ia perlu dibawa ke mesyuarat Exco untuk kelulusan.

“Bermakna dari segi pentadbiran, kuasa menentukan pelantikan ahli majlis PBT ini adalah di bawah Menteri Besar dan barisan Exco dan setelah diluluskan, barulah proses pelantikan dibuat.

“Tidak semestinya cadangan oleh setiap parti komponen perlu diterima bulat-bulat tanpa menganbil kira perkara lain yang boleh memberi imej dan gambaran yang tidak baik kepada pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kepercayaan perlu diberikan kepada Ahmad Faizal dalam menjalankan pentadbiran dengan menghormati beliau sebagai individu yang dipilih untuk memimpin kerajaan Perak sekali gus menghentikan tekanan terhadapnya.

Katanya, adalah amat mendukacitakan apabila seolah-olah terdapat gangguan yang tidak sewajarnya dilakukan rakan parti komponen PH kepada Menteri Besar.

“Tidak wajar menekan beliau dalam isu ini (pelantikan ahli majlis). Ahmad Faizal bukan Menteri Besar untuk sekumpulan pemimpin PH sahaja sebaliknya seluruh rakyat Perak.

“Setiap keputusan yang dibuat adalah menjurus kepada kepentingan rakyat dan bukan politik semata-mata. Apabila meletakkan beliau sebagai pemimpin di peringkat negeri, penghormatan perlu diberikan dan bukannya membuat perkara tidak berfaedah yang akhirnya boleh merugikan PH.

“Saya mahu ingatkan mereka supaya tidak berpolitik sepanjang masa dengan mengambil tindakan yang bukan sahaja kebudak-budakan malah tidak matang politik,” katanya.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal menerusi portal akhbar baru-baru ini dilaporkan telah mempersoalkan Ahmad Faizal yang didakwa melewatkan pelantikan ahli majlis PBT.

Farhash berkata, PKR Perak telah mengemukakan nama-nama bagi pelantikan tersebut sejak dua bulan lalu dan tiada sebab untuk Ahmad Faizal menangguhkan proses lantikan berkenaan.

Difaham, terdapat dua PBT yang belum mengangkat sumpah ahli majlis iaitu Majlis Daerah Kerian dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.