538 Sekolah Di Selangor Ditutup Hari Ini Akibat Jerebu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 538 sekolah membabitkan 584,595 pelajar di sembilan daerah di Selangor ditutup berikutan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang sudah mencecah paras sangat tidak sihat hari ini.

Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan berkata, daerah yang terlibat ialah Petaling Perdana, Petaling Utama, Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Gombak, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Sepang.

“Adalah diingatkan sekiranya pihak sekolah mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran KPM bilangan 1/2019 dengan menutup sekolah serta merta sehingga keadaan kembali pulih.

“Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran berkaitan perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat siaran tersebut.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” katanya di sini hari ini.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17, Shah Alam; SK Subang Bestari; Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Jemaah; SAMT Sultan Hisamuddin; Sekolah Agama Menengah Bestari; SK Saujana Utama dan SK Lembah Subang.

Fenomena jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu semakin bertambah buruk apabila lima stesen Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di Lembah Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat hari ini.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan dalam laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga pukul 9.00 pagi ini, stesen yang terlibat adalah Johan Setia dengan bacaan IPU 256; Shah Alam (221); Petaling Jaya (205); Klang (202) dan Putrajaya (203). -UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.