Usah Peduli Desakan PPBM Halang Rafizi, Abdullah Kempen PRK Port Dickson – Aminuddin

PORT DICKSON ― Tidak perlu layan desakan agar dua pemimpin PKR disekat berkempen dalam pilihan raya kecil Port Dickson, kata menteri besar Negeri Sembilan.

Aminuddin Harun menyifatkan desakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan itu hanya “suara segelintir”, lapor Utusan Online.

“Isu ini tidak perlulah diambil serius kerana ia disuarakan segelintir daripada mereka dan bukannya mewakili keseluruhan parti PPBM seperti yang telah dijelaskan,” katanya, yang juga ketua PKR negeri, dalam sidang media.

Jumaat lalu, PPBM Port Dickson menggesa pemimpin PKR memohon maaf kepada parti atas dakwaan pengerusi mereka Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Jika naib presiden Rafizi Ramli dan ahli parlimen Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak berbuat demikian, kata PPBM lagi, 2,000 ahlinya mungkin memboikot pilihan raya kecil itu.

“Kami memang tidak puas hati dengan tuduhan dilemparkan kepada Mahathir yang merupakan pengerusi parti kami. Sebab itu, kita nak Abdullah minta maaf,” kata ketua penyelarasnya Ramli Awang.

Namun beliau juga berkata akan menyokong “100 peratus” Anwar dan bekerja keras untuk membantu kempen agar kerusi itu kekal di tangan Pakatan Harapan.

Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata Rafizi dan Abdullah Sani adalah tulang belakang memastikan kejayaan parti dan terlibat penubuhan PH.

“Tiada sebab untuk mana-mana pihak menghalang mereka berkempen lebih-lebih lagi untuk Anwar yang bakal menjadi perdana menteri kelapan,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.