Tun M: Semak Semula Hukuman Mati Terhadap Lukman

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes seorang bapa muda, Muhammad Lukman Mohamad yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja untuk tujuan perubatan.

“Saya rasa kita patut semak semula,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes tersebut.

Semalam, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan menulis surat kepada Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mendapatkan pengampunan terhadap Lukman, berdasarkan merit kes berkenaan.

Izzah berkata, sudah tiba masanya untuk menyemak semula definisi yang membezakan seseorang individu, pengedar, penagih atau pesakit yang memerlukan ganja untuk rawatan.

Tambahan pula kata Izzah, ganja semakin diterima ramai di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya rawatan pelbagai penyakit kronik.

Lukman, 29 tahun, bersama isterinya ditahan dalam satu serbuan di rumahnya pada 7 Disember 2015. 

Dia didapati memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC). Isteri Lukman bagaimanapun dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.

Di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang didapati memiliki 200 gram ganja atau lebih, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bapa muda itu.

Kes itu mendapat perhatian netizen yang  bersimpati di atas nasib Lukman kerana pemuda itu dikatakan menggunakan ganja untuk diproses bagi tujuan perubatan. Malah, kaedah alternatif yang disediakan Lukman itu dilaporkan sudah merawat lebih 800 pesakit.

Peguamnya, Farhan Maaruf juga telah membawa saksi-saksi yang pernah mendapatkan khidmat perubatan minyak ganja yang dihasilkan Lukman sepanjang proses perbicaraan sebelum ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.