Tok Pa Keluar UMNO, KJ Salahkan Zahid Hamidi

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR: Susulan dari pengisytiharan Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa keluar daripada parti UMNO, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin secara terus menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi atas tindakan yang diambil oleh Tok Pa.

KJ berkata dalam laman Twitternya hari ini, tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut adalah kesan yang harus ditanggung oleh Zahid.

Selain itu, KJ secara tidak langsung mendakwa punca Tok Pa keluar parti adalah kerana isu kerjasama UMNO dan PAS yang diuar-uarkan bakal terjalin dalam masa terdekat sekali gus menyebabkan dirinya diserang dari dalam setelah membantah usaha kerjasama antara dua parti ini.

“Saya telah bersuara untuk mengingatkan parti saya sendiri yang membantah pakatan dengan PAS. Dan saya menerima serangan dari dalam parti sendiri.

”Sekarang, kita telah kehilangan seorang pemimpin berkaliber dari parti kita. Lelaki yang bijak dan baik. Ini buat anda, Tuan Presiden,” tulis KJ.

Tok Pa hari ini telah mengumumkan secara rasmi keluar dari UMNO setelah berkhidmat lebih dari 40 tahun dalam parti ini.

Beliau berkata hala tuju UMNO kini tidak lagi menepati pegangan prinsip yang dipegangnya selain tidak banyak usaha yang dapat dilakukan untuk memperbaiki UMNO.

Selain itu, beliau turut memberitahu tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.