Tok Pa Isytihar Keluar Umno

SHAH ALAM – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengisytiharkan keluar daripada Umno selepas berkhidmat lebih 40 tahun di dalam parti itu. 

Menerusi kenyataan medianya hari ini, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa berkata, keputusan tersebut diambil selepas membuat pemerhatian terhadap landskap politik Malaysia dan juga hala tuju Umno dan Barisan Nasional (BN) pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

“Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jeli.

Katanya, hala tuju Umno kini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini, selain tiada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

“Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno setelah 40 tahun berkhidmat parti ini,” katanya.

Mustapa bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau bercadang menyertai mana-mana parti politik.

Keputusan itu sekali gus melucutkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan kini bergelar Ahli Parlimen bebas.

Tambah beliau, untuk kekal relevan, Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan kaum Melayu dan Bumiputera semata-mata.

“Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain. Saya percaya inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan itu juga, beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti di Kelantan dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang beliau berkhidmat untuk Umno. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.