SIS: Gadis Terpaksa ‘Membayar Harga’ Dek Tiada Tindakan Tegas Kerajaan Halang Perkahwinan Bawah Umur

SHAH ALAM – Sister In Islam (SIS) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan sekatan ke atas perkahwinan bawah umur di negara ini, bagi mengelakkan lebih ramai anak gadis terpaksa ‘membayar harga’ ekoran tiada tindakan tegas bagi menghalang kes seumpama itu daripada terus berlaku. 

Pengurus komunikasi SIS, Majidah Hashim berkata kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik alasan kononnya tidak mempunyai kuasa yang mencukupi  (powerless) untuk segera menyelesaikan isu tersebut.

“Sisters in Islam (SIS) bimbang bahawa normalisasi perkahwinan kanak-kanak berbahaya bagi masa depan untuk kanak-kanak perempuan di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan itu susulan laporan media berhubung satu lagi kes perkahwinan membabitkan gadis berusia 15 tahun berlaku di Tumpat, Kelantan.

Akhbar New Straits Times melaporkan gadis tersebut bernikah dengan seorang anggota RELA berusia 44 tahun kerana keluarganya hidup susah, justeru mereka mahukannya mendapat kehidupan yang lebih baik.

SIS juga turut menyentuh mengenai satu lagi perkahwinan gadis berusia 15 tahun, juga di Tumpat, yang dilaporkan hilang hanya selepas dua bulan berkahwin dengan seorang lelaki berusia 30 tahun. 

SIS mendakwa trend perkahwinan bawah umur menunjukkan terdapat kekurangan pada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk melindungi kebajikan bawah umur di Malaysia.

“Sangat menganggu memandangkan dalam era `Malaysia Baharu’, ada keluarga atas desakan ekonomi mengahwinkan anak (bawah umur) mereka supaya dapat kehidupan yang lebih baik,” kata SIS.

Sebelum ini negara gempar dengan berita mengenai perkahwinan seorang gadis Thailand berusia 11 tahun dengan lelaki dari Kelantan berusia 41 tahun.

Kes tersebut menjadi viral sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak yang mendesak agar kerajaan segera mengambil tindakan untuk mengekang kes seumpama itu terus berleluasa. 

Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata garis panduan lebih ketat membabitkan isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur akan dirangka.

Katanya, senarai prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu akan disediakan tidak lama lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.