Reda Hilang Anak, Menantu Dan Bakal Cucu

PADANG BESAR: “Dia sepatutnya bersalin hari ini,” kata Abdul Khalid Mustafa, bapa kepada Siti Asmah, 27, yang terbabit dalam nahas jalan raya ketika kejadian ribut yang mengorbankan tiga nyawa di Bukit Cabang, di sini, malam tadi.

Abdul Khalid bukan sahaja kehilangan anak serta menantunya, Muhammad Hafiz Johari, 28, malah turut kehilangan bakal cucu yang dijangka dilahirkan hari ini.

“Kali terakhir saya jumpa Asmah dua hari lalu..dalam jam 7 malam tadi (semalam), saya ada bercakap dengannya melalui telefon.

“Itu sahajalah panggilan terakhir dia kepada saya,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, pagi ini.

Abdul Khalid bagaimanapun, tidak mendedahkan butir perbualan antara dia dan anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Dia sepatutnya bersalin hari ini…saya reda dengan apa yang menimpa mereka sekeluarga,” katanya yang memaklumkan jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Mak, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano dipandu Muhammad Hafiz dan Siti Asmah bersama anak perempuan mereka bertembung dengan kereta jenis Perodua Kancil dipandu Muhammad Amirul Naim Aziz, 24.

Muhammad Amirul turut maut akibat kemalangan itu, manakala anak pasangan terbabit yang berusia empat tahun mengalami kecederaan dan masih dirawat di HTF.

Isteri dan dua anak Muhammad Amirul yang berada dalam kereta ketika kejadian turut terselamat dan mereka sedang dirawat di HTF.

Jenazah Muhammad Amirul Naim dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Seriab, Kangar selepas proses bedah siasat selesai hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhammad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika dalam cuaca hujan lebat dan kita masih lagi menyiasat bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.