Polis Nafi Ada Kes Samun & Bunuh Keluarga

KLUANG: Polis menafikan berlaku kes samun dan bunuh sekeluarga di Kampung Shaari, Simpang Renggam, dekat sini, yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, sejak semalam.

Ketua Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata rakaman suara yang mendakwa berlaku kes berkenaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Hasil siasatan polis, tidak berlaku kes pembunuhan berkenaan dan ia adalah palsu. Berita palsu sebegini akan mendatangkan ketakutan kepada orang awam dan menimbulkan suasana tidak tenteram.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin atau berita palsu berkenaan. Orang awam boleh menghubungi balai polis berdekatan jika mendapat sebarang maklumat yang meragukan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Abduh berkata perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.