PKR Putuskan Tiada Anggota JPP Langgar Peraturan Pemilihan Parti

PETALING JAYA – PKR hari ini mengesahkan bahawa tiada anggota Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) partinya yang melanggar peraturan pemilihan parti itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Rashid Din berkata perkara itu diputuskan selepas satu siasatan dalaman dilakukan pihaknya susulan penahanan dua pegawai pemilihan peringkat cabang di Kedah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terlibat politik wang.

“Kami juga telah menjalankan siasatan dalaman dan ingin menyatakan bahawa setakat ini tiada pegawai kami yang didapati terlibat dengan aktiviti yang melanggar peraturan dan etika pemilihan parti.

“JPP terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pemilihan parti diadakan dengan berintegriti, telus dan mengikut peraturan serta etika,” kata Rashid ketika bercakap pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.

Tambah beliau, jawatankuasa itu juga akan memantau semua pegawai yang terlibat dengan proses pemilihan parti yang akan berlangsung bermula 22 September hingga 28 Oktober.

Media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM mereman dua individu kerana disyaki meminta suapan berkaitan pemilihan bahagian PKR di Kedah.

Kedua-dua suspek dikatakan meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem, sekali gus layak untuk bertanding.

Kedua-duanya ditahan reman sehingga Jumaat depan (21 September).

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16a (A) Akta SPRM 2009. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.