PH Melaka Terbuka Terima Pemimpin, Ahli UMNO

AYER KEROH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka mengalu-alukan penyertaan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad ke dalam parti itu, sekali gus membuktikan penerimaan ramai pemimpin politik tanah air terhadap perjuangan PH.

Ketua Menteri, Adly Zahari, juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak atau bekas pemimpin UMNO untuk berbuat demikian.

“Kita terbuka menerima sesiapa saja, termasuk bekas pemimpin untuk menyertai mana-mana parti dalam PH.

“Jika tidak menyertai parti (PH) pun, tindakan mereka keluar daripada UMNO juga sudah membuktikan tanda sokongan kepada kita,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Adly mengulas tindakan Mohd Adib yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus secara rasmi meninggalkan UMNO, Sabtu lalu.

Mohd Adib, 77, menyerahkan borang keahlian untuk menjadi ahli seumur hidup parti komponen PH itu dalam satu majlis Sembang Santai di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini.

Borang keahliannya diserahkan kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya dengan disaksikan Ketua Srikandi BERSATU Melaka, Azlina Abdul Rahman.

Mohd Adib menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kelima dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982.

Tokoh politik dan ahli korporat berpengalaman itu juga pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Penerangan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.