Pemilihan PKR Diteruskan Walaupun Dua Ahli Sekretariat Pemilihan Ditahan SPRM

PETALING JAYA – Pemilihan PKR di negeri Kedah yang berlangsung pada Sabtu ini tetap diteruskan, meskipun dua individu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlakunya politik wang dalam persiapan pemilihan parti di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Rashid Din berkata, pihaknya akan memantau semua petugas yang mengendalikan pemilihan parti termasuk dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami juga telah membuat siasatan dalaman dengan penuh teliti terhadap semua petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan setakat ini tiada sebarang penglibatan dalam aktiviti melanggar peraturan dan etika pemilihan parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, sumber SPRM memaklumkan, mereka yang ditahan dipercayai meminta wang berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 58 tahun sebagai dorongan supaya namanya tidak digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding pada pemilihan parti peringkat cabang di Kedah pada 22 September ini.

Dua lelaki yang merupakan sekretariat jawatankuasa pemilihan PKR di negeri itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sebentar tadi.

Pemilihan PKR pada Sabtu ini akan dilangsungkan di Pulau Pinang dan Kedah, dan diteruskan di Perlis dan Perak pada Ahad membabitkan seramai 171,427 ahli. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.