Najib Didakwa Tak Tahu Penyelewengan 1MDB

KUALA LUMPUR: Wartawan Wall Street Journal (WSJ), Tom Wright, mendakwa Datuk Seri Najib Razak memperlakukan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai ratusan juta dolar untuk kepentingan parti dan keluarga bekas perdana menteri itu.

Wright merangkap pengarang bersama buku ‘Million Dollar Whale’, mendakwa dalam masa sama Najib juga tidak menyedari dana syarikat pelaburan kontroversi negara itu diseleweng oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

“Bekas perdana menteri itu tidak menyedari bahawa Jho Low menyapu berbilion (dolar) dana negara.

“Saya tidak fikir Najib tidak bersalah. Tetapi saya yakin beliau tahu bahawa dana itu dipergunakan untuk kepentingan politik yang mana beratus juta dolar disalur kepada UMNO dan keluarganya untuk beli banyak rumah termasuk menubuhkan syarikat perfileman ketika beliau bergelar perdana menteri.

“Najib tahu bahawa Jho Low telah menguruskan dana itu dengan cara mengeluarkan AS$4.5 bilion (RM18.64 bilion), AS$5 bilion (RM20.71 bilion) atau mungkin AS$6 bilion (RM24.85 bilion).

“Saya tidak fikir begitu. Saya fikir beliau (Najib) terpisah dengan proses hari ke hari itu, kerana Jho Low yang menguruskan perkara itu,” katanya dalam temubual Wright dengan portal coconuts.com, yang disiarkan sebuah portal berita, hari ini.

Wright mendakwa, Jho Low yang begitu berani kerana mempunyai hubungan dengan Najib, terus ‘menyeleweng’ lebih banyak wang meskipun ketika skandal 1MDB mula mendapat perhatian rakyat Malaysia.

“Kami mempunyai papan putih yang besar ketika menulis buku itu (Billion Dolar Whale). Kami cuba untuk menyelesaikan ‘apa pelan permainan Jho Low’ tetapi sebaliknya tidak kelihatan seperti rancangan untuk menjadikan perniagaan itu mampan.

“Ia hanya mengambil setiap peluang untuk apa yang akan dibeli selepas ini dan saya fikir ia sewenang-wenangnya dilakukan kerana beliau berada dekat dengan perdana menteri dalam sistem itu. Itu menunjukkan kepada semua negara yang kami gelarkan ‘kleptokrasi’ dalam buku,” katanya.

Menurut Wright, contoh yang beliau boleh gambarkan adalah pembelian kapal layar mewah, Equanimity oleh Jho Low.

Katanya, pembelian kapal layar mewah itu amat mengejutkan ketika Malaysia sedang dilanda persoalan berhubung kelompongan dalam pengurusan dana kewangan 1MDB.

Apa yang paling mengejutkan saya adalah hakikatnya beliau (Jho Low) membeli kapal layar Equanimity ketika media di Malaysia mula menimbulkan persoalan tentang kelompongan dana (kewangan).

“Mana-mana pencuri konservatif dan rasional cuba mengisi lubang itu, bukan? Beliau tidak mengisi lubang itu, sebaliknya apabila dapat pinjaman baharu dari Deutsche Bank, beliau menggunakan sebahagiannya untuk membeli kapal layar itu,” dakwanya.

Berdasarkan laporannya mengenai isu 1MDB, Wright mendakwa, sudah jelas bahawa Jho Low adalah ‘tuan boneka’.

Wright mendakwa, Jho Low bertanggungjawab menyelaraskan pemindahan AS$681 juta bersamaan RM2.6 bilion ke dalam akaun bank Najib berdasarkan tukaran mata wang pada 2015.

“Saya fikir apabila kita mendapat mesej WhatsApp antara Jho Low dan beberapa orang termasuk beberapa pegawai bank di institusi perbankan Malaysia di mana beliau jelas mengarahkan mereka untuk berbuat itu dan ini atau mengalihkan wang itu ke akaun perdana menteri atau keluar dari akaunnya.

“Anda melihat melalui mesej WhatsApp bahawa beliau (Jho Low) adalah ‘tuan boneka’… mengarahkan pihak bank bahawa AS$680 juta akan tiba dari luar negara,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.